ICERD muslihat hapus keistimewaan, kata badan hak Melayu


Zaim Ibrahim

ORANG Melayu menentang cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan kerana takutkan yang bukan-bukan tetapi mempertahankan keadilan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata badan hak Melayu dan pertubuhan Islam.

ICERD bukannya diwujudkan untuk mengekang masalah diskriminasi tetapi untuk menindas dan menzalimi hak Bumiputera, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Alasan bukan Bumiputera untuk ratifikasi ICERD semuanya bohong dan palsu belaka.

“Segalanya adalah untuk kekuasaan dan mengukuhkan kedudukan mereka bagi menguasai negara dan meletakkan Bumiputera di bawah rahmat mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, banyak orang tidak faham sejarah dan kerana tidak dapat melihat keadilan berdasarkan realiti sebenar.

“Hak keistimewaan Melayu hakikatnya bukan keistimewaan tetapi imbalan balas kepada satu tolak ansur.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata alasan bukan Bumiputera untuk ratifikasi ICERD adalah pembohongan dan palsu belaka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2018

“Orang Melayu telah berkompromi sebahagian daripada hak kedaulatannya dengan menerima kaum lain berkongsi hidup dalam politik, ekonomi dan sebagainya,” jelas beliau.

Ditanyakan bagaimana ICERD boleh menindas kaum Bumiputera dan bukankah Islam menuntut umatnya berlaku adil kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, beliau enggan memberi sebarang komen.

Sementara itu, Pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad beranggapan ICERD adalah satu perjanjian antarabangsa yang akan memusnahkan keistimewaan Melayu.

“Jika dimeterai, ia bakal menidakkan hak mutlak orang Melayu. Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) akan tergugat,” katanya.

Beliau turut percaya kedudukan raja-raja Melayu juga akan tergugat, malah peruntukan perkenan Majlis Raja-Raja bagi hal ehwal melibatkan Melayu dan Islam dalam Perlembagaan juga boleh dipinda di Parlimen.

ICERD jadi perbahasan hangat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy mengumumkan ia antara enam konvensyen hak asasi manusia yang akan kerajaan ratifikasikan menjelang suku pertama tahun depan.

Kenyataannya itu mendapat reaksi balas keras daripada pelbagai kumpulan Melayu, termasuk Umno dan PAS yang merancang protes besar-besaran di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.

Pengerusi Skuad Badar, Azhaar Mohamad (tengah) berkata ratifikasi ICERD akan menggugat Perkara 153 serta kedudukan raja-raja Melayu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2018

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ratifikasi ICERD mustahil untuk dilaksanakan kerana memerlukan dua pertiga undian di Parlimen.

Dalam pada itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berkata, penentangan bersama Umno dan PAS terhadap ICERD adalah satu strategi politik yang baik untuk dua parti Melayu itu.

“Siapa yang lebih baik untuk suarakan kebimbangan orang Melayu dan Islam selain PAS dan Umno?

“Gandingan itu merupakan satu strategi politik terbaik supaya dilihat kuat daripada suara akar umbi dengan mengenepikan perbezaan idelogi kedua-dua parti tersebut,” kata profesor madya dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.

Ditanya kenapa kurang terdengar suara dari Bumiputera di Sabah dan Sarawak, Jeniri berkata ia disebabkan kurangnya pemahaman mengenai isu tersebut selain hampir tidak dibahaskan oleh media tempatan.

Sementara itu, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, PAS dan Umno akan menghampakan masyarakat Melayu Islam sekiranya dua parti itu tidak bersuara tentang ICERD.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan kerjasama mereka dalam membantah ratifikasi ICERD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2018

“Isu ICERD ini berkaitan dengan kepentingan Umno dan PAS. Jika Umno dan PAS berdiam diri, mereka tidak perjuangkan objektif parti mereka,” katanya.

Jelas beliau, walaupun ada pandangan Perkara 153 tidak terjejas dengan ratifikasi ICERD, penentangnya yakin negara-negara luar akan memberikan tekanan kepada Malaysia.

“Meratifikasi ICERD akan menyebabkan campur tangan dan tekanan dari negara luar terhadap negara kecil seperti Malaysia,” tambahnya.

Usaha meratifikasi ICERD pernah dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2011.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, (Suhakam), kerajaan ketika itu sudah  mula berbincang untuk meratifikasi ICERD dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal ICERD di bawah Jabatan Perdana Menteri. – 21 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen