Mahkamah Eropah desak Turki bebaskan pemimpin pro-Kurdi


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dilihat cuba memperluaskan pengaruhnya dengan menahan beberapa pimpinan yang berseberangan pendapat dengan beliau – Gambar EPA, 20 November, 2018

MAHKAMAH Hak Asasi Manusia Eropah pada hari Selasa mendesak Turki untuk membebaskan pemimpin pro-Kurdi Selahattin Demirtas, mengatakan penahanan pemimpin itu sejak 2016 di atas tudusan aktiviti keganasan bertujuan “menyekat pluralisme”.

Demirtas adalah salah seorang daripada dua bekas ketua parti pro-Kurdi Parti Demokrat Rakyat (HDP) yang berhaluan kiri, beliau ditangkap pada bulan November 2016 atas tuduhan terlibat dengan aktiviti militan Kurdi.

Sewaktu beliau ditahan, beliau merupakan ahli parlimen.

Mahkamah di bandar Strasbourg, Perancis berkata, pihaknya menerima bahawa Demirtas ditahan berikutan “kecurigaan munasabah” kerana melakukan jenayah, namun berkata alasan yang diberikan untuk memenjarakan beliau tidak “mencukupi” dan menyebabkan “gangguan yang tidak adil terhadap kebebasan bersuara rakyat”.

Ia mendapati bahawa lanjutan penahanannya, terutamanya semasa referendum yang dijalankan bagi memperluas kuasa Presiden Recep Tayyip Erdogan dan kemudiannya pilihan raya presiden, adalah bertujuan untuk “menyekat pluralisme dan membataskan kebebasan perdebatan politik, yang merupakan intisari daripada konsep masyarakat demokratik “.

“Maka oleh itu, mahkamah, dengan suara bulat, bahawa negara responden harus mengambil semua langkah yang diperlukan bagi menghentikan penahanan pra-perbicaraan pemohon,” tambahnya.

ECHR mendengar kes-kes yang didakwa melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah yang turut ditanda tangan negara Turki. – AFP, 20 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen