Kalah jawatan parti bukan penamat, kata Ahli Parlimen PKR


Nabihah Hamid

Tiga tokoh PKR yang kalah dalam pemilihan parti itu baru-baru ini berazam untuk terus berkhidmat demi parti. – Gambar The Malaysian Insight, 20 November, 2018.

AHLI Parlimen PKR yang kalah pemilihan parti hujung minggu lalu yakin mereka akan sentiasa ada ruang untuk bersuara tentang parti dan memberi sumbangan kepada agenda reformasi yang digerakkan parti.

Mereka juga percaya parti reformasi itu akan sentiasa terbuka dan sudi menerima teguran pemimpin dan ahli yang tiada jawatan dalam parti.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang tewas merebut jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyeru calon lain yang kalah untuk terus berkhidmat walaupun tidak dilantik ke mana-mana jawatan dalam parti selepas ini.

“Saya percaya kita juga boleh berkhidmat tanpa lantikan kerana sudah terbukti ramai berjuang tanpa jawatan. Tetapi  sekiranya dilantik ia adalah tanggungjawab.

“Selepas ini, tiada lagi kumpulan-kumpulan. Tiada lagi kabilah-kabilah. Yang hanya ada cuma ada satu kem iaitu kem Keadilan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim,” kata bekas Pengarah Komunikasi PKR itu kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, timbalan menteri Fuziah Salleh yang kalah jawatan ketua Wanita percaya lebih separuh pasukannya yang menang jawatan sayap itu akan menjalankan tugas dengan baik walaupun bukan beliau yang memimpin mereka.

“Saya yakin mereka boleh membawa suara wanita akar umbi. Saya juga akan terus jadi suara rakyat seperti sebelum ini,” katanya yang mahu fokus sebagai ahli parlimen Kuantan serta Timbalan Menteri Agama.

Dua daripada tiga jawatan Naib Ketua Wanita dan 12 daripada 20 exco wanita ialah mereka yang bersama-sama Fuziah semasa kempen pemilihan sejak akhir Jun lepas.

Pemilihan PKR yang berakhir Ahad lalu menyaksikan ramai ahli parlimen yang popular tewas merebut pelbagai jawatan termasuk kerusi Naib Presiden seperti Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

Selain Fahmi, Ahli Parlimen Subang Wong Chen juga kalah jawatan MPP serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

“PKR mengamalkan sistem yang terbuka, jadi kita boleh menyuarakan suara di Parlimen, di dalam media sosial seperti Facebook,” kata Wong Chen.

Dalam pada itu, penganalisis sosio politik Dr Awang Azman Awang Pawi menjangkakan beberapa pemimpin yang kalah akan dilantik ke dalam barisan majlis pimpinan pusat terutama mereka dalam kalangan kem Rafizi Ramli.

Ini termasuk Rafizi sendiri yang kalah kepada Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden, serta Wong Chen dan Johari, katanya.

“Kita lihat ada berapa jawatan lantikan. Mereka (kem Rafizi) yang kalah dan lain-lain yang dianggap penyokong setia Anwar akan dilantik.” – 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen