SEORANG pengumpul jed di utara Myanmar ditembak mati oleh pihak keselamatan lombong, kata pihak berkuasa semalam.
Ia adalah kematian terkini industri berbilion dolar yang terkenal dengan keadaan kerja yang merbahaya, tanah runtuh yang boleh meragut nyawa dan rasuah.
Ramai yang memburu batu jed di Kachin, Myanmar akan memasuki lombong-lombong yang dimiliki syarikat-syarikat perlombongan bagi mendapatkan serpihan batu itu di tengah malam, batu itu dipercayai sebagai tanda nasib baik dan kekayaan di negara tetangga, China.
Syarikat-syarikat itu biasanya membenarkan pemburu batu haram untuk memasuki kawasan lombong itu selepas jentera besar mereka menjalankan proses penyisiran melalui bukit bukau untuk mendapatkan batu jed yang besar.
Myanmar adalah sumber terbesar batu jed di dunia dan memperolehi seketul batu yang ditinggalkan pelombong syarikat boleh memberi imbuhan kecil kepada pemburu jed.
Namun keadaan di lombong-lombong itu terlalu buruk. Puluhan pekerja meninggal dunia setiap tahun dalam tanah runtuh, di samping pertembungan dengan pengawal keselamatan yang bekerja untuk syarikat lombong menjadi lumrah kepada pemburu jed.
Pada hari Isnin, seorang pekerja dari negeri Rakhine yang lemah dan miskin di Myanmar ditembak mati berhampiran lombong di Hpakant, bandar jed utama di Kachin.
“Orang muda itu terbunuh oleh tembakan pegawai keselamatan yang bekerja untuk sebuah syarikat,” kata Shwe Thein, ketua Liga Negara Parti Demokrasi di lokasi Seik Hmu Hpakant, kepada AFP.
Thein berkata para pelombong itu bukan pencuri dan hanya mencari wang tunai segera dari sisa yang ditinggalkan oleh penggali berat. – AFP, 20 November, 2018.
Komen