HAKIM persekutuan pada hari Isnin menggantung sementara perintah pentadbiran Trump yang menafikan suaka kepada mereka yang memasuki Amerika Syarikat secara haram.
Presiden Donald Trump awal bulan ini mengeluarkan pengisytiharan itu yang digelarnya sebagai satu dasar keselamatan negara sewaktu pendatang Amerika Tengah mahu memasuki sempadan AS melalui Mexico.
Hakim Jon Tigar di San Francisco mengeluarkan perintah untuk menyekat pengisytiharan Trump tersebut secara sementara, dan membolehkan kumpulan-kumpulan hak asasi menjalankan pemfailan saman yang dibuat selepas arahan pentadbiran Trump itu diumumkan.
Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika mengatakan undang-undang AS menetapkan bahawa hak meminta suaka harus diberikan kepada sesiapa yang memasuki negara ini, tanpa mengira sama ada mereka melakukannya secara sah atau pun tidak.
Pentadbiran Trump berhujah bahawa presiden AS itu mempunyai kuasa eksekutif untuk mengawal imigresen atas nama keselamatan negara - kuasa yang digunakan beliau selepas mengambil alih pentadbiran tahun lepas dengan mengumumkan larangan masuk ke dalam AS terhadap pelancong dari beberapa negara Islam.
Versi terakhir perintah itu diputuskan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada 26 Jun selepas pertikaian undang-undang itu berlarutan.
Apabila dasar baru itu diumumkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS pada 8 November, seorang pegawai kanan pentadbiran berkata beliau akan menghalang apa yang disifatkan sebagai “salah guna sistem imigresen AS” berhubung sempadan negara itu dengan Mexico. – AFP, 20 November, 2018.
Komen