Waytha guna ICERD untuk bawa agenda Hindraf, kata Pemuda Umno 


Christopher Rabin

Segala bentuk kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy hanya untuk membawa agenda Hindraf, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Nizham Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018

P. WAYTHA Moorthy mahu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah untuk membawa agenda Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Nizham Hamidi. 

“Waytha Moorthy merupakan aktivis sebelum ini. Kamu boleh lihat setiap pendekatan yang beliau buat sebaik sahaja menjadi perdana menteri adalah sasaran kepada agenda ini,” kata Nizham hari ini selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung satu wawancara yang dibuat pada 2011. 

Beliau pada sesi wawancara dengan stesen televisen Belanda mendakwa penganut Hindu dan masyarakat India didiskriminasi oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu. 

Nizham hari ini mendesak Waytha Moorthy untuk meletakkan jawatan berhubung apa yang dikatakannya sebagai kenyataan berbaur perkauman. 

Menurutnya, kenyataan itu mencemar imej negara dan boeh menyebabkan ketegangan awam.

“Kami mengambil pendekatan untuk membuat laporan polis dan kami menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana menteri yang memuat kenyataan perkauman.”

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Nizham Hamidi bercakap kepada pemberita selepas membuat aporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy di Balai Polis Dang Wangi hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 November, 2018

“Kenyataan itu memberi ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dengan situasi dalam negara kita,” kata Nizham. 

Beliau berkata, Pemuda Umno tidak menentang kaum India dan Cina, atau mana-mana kaum. 

Nizham berkata sementara Waytha Moorthy mendapat sokongannya, posting di media sosial pada umumnya tidak menyokong menteri berkenaan.
 
“Sekiranya kerajaan (sebelumnya) telah meminggirkan kaum (minoriti), kita tidak akan mempunyai Robert Kuok, Ananda Krishnan, atau Mokzani Mahathir. Saya percaya majoriti tidak bersetuju dengan Waytha Moorthy,” katanya.

Semalam, satu petisyen dalam talian ditujukan kepada Perdana Mneteri Dr Mahathir Mohamad mengumpul lebih 114,000 tandatangan, mendesak pemecatan Waytha Moorthy. 

Waytha Moorthy turut dikecam di Parlimen semalam selepas ahli Parlimen pembangkang meminta beliau menjelaskan rancangan Malaysia untuk meratifikasikan ICERD. 

Perbahasannya bagaimanapun dipendekkan apabila tercetus kekecohan selepas ahli Parlimen BN menjerit ke arahnya ketika cuba menghabiskan teks. – 20 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen