TIMBALAN Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau membuat laporan polis berhubung keselamatan selepas satu poster mendakwa beliau memainkan peranan dalam pengeluaran Mykad kepada pendatang haram di Sabah tersebar di WhatsApp.
“Saya menemui poster berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam, ini bukan kali pertama saya dituduh memberi IC dan lain-lain. Tetapi kali ini keadaan menjadi semakin serius, selepas ia viral,” katanya yang juga presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).
“Saya menerima mesej di WhatsApp dan panggilan telefon yang marah berhubung poster itu. Panggilan itu melibatkan ancaman keselamatan saya dan keluarga.
“Saya sudah membuat laporan polis agar mereka boleh mencari dalang yang bertanggungjawab menyebarkan poster palsu itu dan jelas menyebabkan masyarakat marah,” kata ahli Parlimen Tuaran itu pada sidang media ringkas selepas membuat laporan di Balai Polis Penampang hari ini.
Upko mendakwa menjadi sasaran serangan politik berikutan keputusan parti itu untuk bersekutu dengan Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan selepas pilihan raya 9 Mei yang memberikan tiga parti itu mandat untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah.
Salah satu tuduhan paling berat terhadap parti dan kerajaan yang diterajui parti Warisan, ialah peranan mereka dalam mengeluarkan kad pengenaan Malaysia kepada masyarakat pendatang haram di Sabah. – 20 November, 2018
Komen