Selangor semak papan tanda nama jalan seluruh negeri


Nabihah Hamid

Kerajaan negeri Selangor akan menyemak semula semua papan tanda nama jalan di seluruh negeri supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 November, 2018.

KERAJAAN negeri Selangor akan menyemak semula semua papan tanda nama jalan di seluruh negeri supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan sebelum ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata tindakan segera akan diambil untuk mencabut papan tanda nama jalan bertulisan Mandarin di Shah Alam.

“Kita akan turunkan serta-merta dan seluruh papan tanda akan dilihat juga, jika tidak ikut syarat kita akan ambil tindakan.

“Kita sedang semak di kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya setakat ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kerajaan negeri akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu papan tanda nama jalan bertulisan Mandarin di Shah Alam ditanggal dan diganti dengan papan tanda bertulisan Bahasa Melayu.

“Kita merafak sembah titah yang dibuat Sultan Selangor. Kita lakukan dengan penuh tanggungjawab,” katanya yang juga Adun Tanjung Sepat.

Borhan berkata papan tanda bertulisan Mandarin yang tular di media sosial baru-baru ini tidak menepati piawai yang ditetapkan iaitu tulisannya perlu diletakkan di bawah tulisan dalam Bahasa Melayu dan dipaparkan dengan saiz lebih kecil.

“Jika dilihat yang viral itu, tulisan cina itu agak besar dan berada di atas. Saya difahamkan perlu letak di bawah,” katanya.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum ini menjelaskan Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor memutuskan pada 13 Januari, 2017 papan tanda nama jalan akan menggunakan dua bahasa mengikut kesesuaian penduduk di kawasan tersebut.

Papan tanda bertulisan Mandarin yang tular di media sosial baru-baru ini dikatakan tidak menepati piawai yang ditetapkan iaitu tulisannya perlu diletakkan di bawah tulisan dalam Bahasa Melayu. – Gambar Facebook, 20 November, 2018.

Selain tulisan rumi, nama jalan di kawasan kampung tradisi Melayu menggunakan tulisan jawi manakala kawasan kampung baru menggunakan tulisan bahasa Cina.

Semalam, Sultan Selangor menitahkan semua papan tanda jalan di Shah Alam yang memaparkan tulisan Cina diturunkan dan digantikan dengan Bahasa Melayu.

Sepucuk surat bertarikh 19 November yang dikeluarkan Istana kepada kerajaan negeri Selangor menyebut papan tanda tersebut perlu diturunkan dengan segera dan diganti dengan papan tanda berbahasa Melayu sebelum sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Sharafuddin yang ke-73 bulan depan.

Antara jalan-jalan di Shah Alam yang mempunyai papan tanda dengan tulisan Cina ialah Jalan Besar Pekan Subang, Jalan Balai Raya C dan Jalan Pasar A, yang fotonya tular di media sosial sehingga mencetuskan perbahasan.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dalam reaksinya menyifatkan penggunaan tulisan lain selain Bahasa Melayu pada papan tanda nama jalan satu perbuatan yang biadab.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan semalam memandang berat penggunaan bahasa lain selain bahasa kebangsaan pada papan tanda nama jalan yang telah ditimbulkan banyak pihak.

“Isu ini tidak seharusnya timbul kerana perkara 152, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan secara rasmi,” kata agensi itu. – 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen