Skuad Badar sebabkan salah faham Islam, kata parti politik


Nabihah Hamid Mohd Farhan Darwis

Pemimpin muda parti politik berpendapat operasi cegah maksiat Skuad Badar di Sungai Petani, Kedah boleh menyebabkan salah tanggap terhadap Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018.

OPERASI cegah maksiat Skuad Badar di Sungai Petani, Kedah boleh menyebabkan salah tanggap terhadap agama Islam, kata pemimpin muda parti politik.

Mereka berpendapat lebih wajar kumpulan sukarelawan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa agama agar tindakan mereka tidak menimbulkan salah faham itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Fathul Bari Mat Jahaya berkata agama Islam menetapkan sistem hukum dan pemerintahan yang perlu diikuti, dan bukannya boleh dibelakangkan ikut suka hati.

“Ini memberi gambaran yang salah tentang Islam. Dalam Islam, kita tidak boleh bertindak dengan hukum-hakam pemikiran sendiri. Sistem agama yang menetapkan urusan seperti ini, perlu berbalik kepada sistem pemerintahan.

“Jangan kita ingat kita boleh ambil tindakan sesuka hati. Bukan soal saya kata biarkan maksiat, tetapi gunakanlah kadar yang kamu ada,” kata beliau yang juga Yang Di-Pertua Pertubuhan Ilmuan Malaysia, badan yang sebelum itu dikenali sebagai Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu).

Fathul Bari mengulas mengenai Skuad Badar, kumpulan sukarelawan agama yang beroperasi menjaga moral umat Islam di sekitar Sungai Petani, Kedah sejak dua tahun lalu.

Mereka yang dicekup berkhalwat akan dibawa ke tanah perkuburan dekat sebuah masjid untuk ditarbiahkan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Bersatu Abu Hafiz Salleh Hudin berpendapat Skuad Badar seharusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa, sekiranya mahu mencegah kemungkaran.

Katanya, segala tindakan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran perlulah dijalankan berlunaskan undang-undang.

“Saya kira kalau pihak Badar merasakan tidak bertentangan dengan undang-undang, mereka patut bekerjasama dengan pihak berkuasa… bukan berasingan.

“Sekiranya semua pihak mentakrifkan undang-undang sendiri dan menjalankan dengan selera dan kefahaman mereka, negara ini bakal wujud tanpa undang-undang.

“Serbuan sebagai contoh hanya boleh dilakukan oleh pihak penguatkuasa bukan mana-mana NGO bahkan pihak persendirian. Memecah masuk ke dalam premis atas alasan mencegah maksiat adalah salah di sisi undang-undang negara dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin Skuad Badar Azhaar Mohamad berkata pihaknya sudah menjelaskan kepada exco agama kerajaan negeri Kedah, Ismail Salleh mengenai pendirian dan kegiatan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018.

Semalam, Skuad Badar bertegas mahu meneruskan operasinya walaupun dikritik pelbagai pihak.

Skuad Badar juga sudah menjelaskan kepada exco agama kerajaan negeri Kedah, Ismail Salleh mengenai pendirian dan kegiatan mereka, kata pengasas dan pemimpinnya Azhaar Mohamad.

“Masalahnya sekarang ialah kita dituduh melakukan ‘ikut nafsu’ ketika menjalankan operasi. Ini semua fitnah. Kami berjumpa exco pada Ahad untuk menjawab tuduhan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR yang baru dipilih Haniza Talha berpendapat gerakan tidak bertauliah seperti Skuad Badar perlu dihalang.

“Mereka harus ikut peraturan negara. Sesuatu yang baik perlu cara yang baik juga. Matlamat tidak menghalalkan cara. Negara ini ada undang-undang. Kita hendak semua harmoni tetapi kita kena ikut cara yang baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin berkata ada banyak lagi cara yang boleh digunakan oleh badan Islam seperti Skuad Badar untuk mencegah maksiat, misalnya mendidik akhlak golongan belia.

“Mereka tiada hak di bawah undang-undang untuk jalankan sebarang hukuman lebih-lebih lagi di depan umum.

“Saya nampak daripada segi menjaga akhlak, kita perlu mendidik manusia untuk muhasabah. Tidak perlu ada orang lain. Ini satu perkembangan tidak berapa baik,” katanya yang juga menteri Kabinet persekutuan.

Operasi cegah maksiat Skuad Badar yang menyerbu antaranya hotel murah di Sungai Petani mencari pasangan Muslim berkhalwat, selain memeriksa rumah sekiranya mendapat aduan orang ramai, mengundang pelbagai reaksi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, apa-apa penguatkuasaan agama mesti dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang.

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) turut beranggapan, operasi mereka tidak ada ciri-ciri Islam kerana melanggar ruang peribadi individu, kata pengarah eksekutifnya, Latheefa Koya. – 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen