RAJA Salman mempertahankan putera mahkota Arab Saudi dan memuji kehakiman negara ini, dalam kenyataan umumnya yang pertama sejak pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang menjadikan negara itu teruk dikritik.
Pendakwa raya umum minggu lalu melepaskan Putera Mahkota Mohammed Salman, daripada pembabitannya dalam pembunuhan yang berlaku di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober, tetapi CIA melaporkan putera itu mengarahkan pembunuhan itu.
Pendakwa raya menggesa hukuman mati dikenakan terhadap lima lelaki, mengumumkan pendakwaan terhadap 11 orang, dan berkata seramai 21 individu sedang ditahan berhubung pembunuhan itu.
“Kerajaan itu berasaskan prinsip Islam keadilan dan kesaksamaan, dan kami berbangga dengan usaha keadilan dan pendakwa,” kata raja berusia 82 tahun itu dalam ucapan tahunannya di Majlis Syura.
Dalam ucapannya, raja itu memuji pembaharuan ekonomi dilakukan puteranya yang menyasarkan untuk mencipta lebih banyak pekerjaan.
Televisyen Al-Arabiya melaporkan putera itu akan menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 di Argentina hujung bulan ini, kunjungan ke luar negaranya yang pertama sejak pembunuhan itu.
Dalam kedegilannya, putera itu akan berdepan dengan pemimpin antarabangsa dari Turki – yang memberi tekanan kepada negara itu – Amerika Syarikat dan negara Eropah dalam sidang kemuncak dua hari bermula 30 November. – AFP, 20 November, 2018.
Komen