Taliban, AS berbincang berhubung konflik Afghanistan


Konflik dalaman Afghanistan menyaksikan siri-siri serangan yang menyayat hati apabila pertembungan beberapa fraksi politik di negara itu berlaku. – Gambar EPA, 19 November, 2018.

TALIBAN mengadakan perbincangan dengan pegawai Amerika Syarikat di Qatar bagi mengakhiri konflik Afghanistan minggu lalu.

Perbincangan tersebut disahkan kumpulan militan itu hari ini, namun berkata tidak ada persetujuan dicapai mengenai “apa-apa isu”.

Kenyataan itu muncul sehari selepas wakil AS, Zalmay Khalilzad menyatakan harapan di Kabul bahawa perjanjian damai untuk mengakhiri perang 17 tahun itu boleh diusahakan sebelum pemilihan presiden Afghanistan, yang dijadualkan April depan.

Pegawai kanan Taliban bertemu delegasi pimpinan “utama” AS  di Qatar pada 14, 15 dan 16 November, kumpulan militan itu berkata dalam mesej WhatsApp, tanpa menyebut nama Khalilzad. 
Bagaimanapun, AS tidak membuat sebarang kenyataan mengenai perbincangan yang diadakan itu.

Taliban mempunyai pejabat politik di ibu kota Doha yang berfungsi sebagai kedutaan rasmi organisasi itu.

“Ini adalah perbincangan awal dan tiada persetujuan dicapai mengenai sebarang isu,” kata jurucakapnya, Zabiullah Mujahid.

“Kami mahu tegaskan Mujahidin dan negara Muslim kami berpendirian bahawa wakil-wakil WIlayah Islam tidak akan bersetuju dengan apa-apa yang tidak mematuhi prinsip-prinsip Islam.”

Utusan AS Khalilzad berada di Kabul selepas pusingan kedua mesyuarat serantau dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan Afghanistan untuk menyelaraskan usaha mengakhiri konflik di negara itu. – AFP, 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen