Thailand hantar pulang 73 mangsa penyeludupan orang ke Myanmar


Pemangku Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand Jeneral Surachate Hakparn (berdiri tengah) turut menyumbang sejumlah 146,000 baht (AS$4,424) kepada mangsa terbabit. – Gambar fail AFP, 19 November, 2018.

SERAMAI 73 warga Myanmar yang menjadi mangsa penyeludupan orang di Thailand, dihantar pulang ke negara asal pada Isnin, demikian menurut agensi berita Xinhua.

Mangsa bekerja secara haram di Thailand sebelum diselamatkan pihak berkuasa awal tahun ini.

Satu majlis menyambut ketibaan mangsa diadakan di bandar Myawaddy yang bersempadan dengan wilayah Mae Sot Thailand. 

Pada majlis itu Pemangku Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand Jeneral Surachate Hakparn turut menyumbang sejumlah 146,000 baht (AS$4,424) kepada mangsa terbabit.

Surachate berkata pihak berkuasa akan terus menentang pemerdagangan manusia dan hanya menerima pekerja migran yang sah, di bawah memorandum persefahaman antara Thailand dan Myanmar.

Dianggarkan dua juta pekerja asing Myanmar bekerja di Thailand, kebanyakannya berdaftar secara sah.

Kebanyakannya bekerja di sektor perikanan dan di kilang pemprosesan makanan laut di pinggir bandar di barat daya Bangkok. – Bernama, 19 November, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen