Azmin nafi Felda, Felcra akan bergabung


Zaim Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu tidak pernah dirancang kerana fokus utama kementerian sekarang ialah memulihkan Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 November, 2018.

FELDA dan Felcra tidak akan bergabung, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, menafikan laporan media penggabungan itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Azmin berkata perkara itu tidak pernah dirancang kerana fokus utama kementerian sekarang ialah memulihkan Felda.

“Tidak ada perancangan gabungan (Felcra) dengan Felda.

“Semua usaha untuk memulihkan Felda khususnya pengurusan kewangan dan pengurusan perladangan berdasarkan kertas putih yang akan dibentangkan,” kata beliau ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Azmin semalam berkata kerajaan akan membentangkan kertas putih di Parlimen pada Disember mengenai penyalahgunaan dan pengurusan tidak bertanggungjawab Felda yang membawa kepada hutang berjumlah lebih RM8 bilion.

Sebuah akhbar kewangan mingguan sebelum itu melaporkan kerajaan akan membentangkan kertas putih mengenai Felda di Parlimen yang dijangka mengandungi cadangan untuk memulihkan pengurusan kewangan dan tadbir urus dalam Felda.

Antara cadangan itu ialah menggabungkan Felda dengan Felcra.

Hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Saiful Anuar Lebai Hussen juga dipetik Bernama enggan mengulas mengenai cadangan penggabungan dua agensi itu.

“Tidak, tidak, saya tak tahu tentang perkara itu,” katanya. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen