Kerajaan tak halang himpunan bantah ICERD, kata Muhyiddin 


Zaim Ibrahim

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, pihak polis akan memantau penganjuran himpunan itu dan memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

KERAJAAN bersifat terbuka terhadap penganjuran Himpunan Aman Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan berlangsung 8 Disember depan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, pihak polis akan memantau penganjuran himpunan itu dan memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

“(Himpunan) di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman. Kami sangat terbuka (dengan himpunan itu) kerana ini adalah negara demokrasi.

Kita terbuka untuk sesiapa menyuarakan kebimbangan mereka,” kata beliau ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini. 

Ketika ditanya adakah pihak penganjur sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit himpunan, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.

Beliau bagaimanapun menasihati agar peserta-peserta himpunan itu nanti tidak menimbulkan sebarang kekacauan.

“Kami menasihatkan mereka agar tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk provokatif termasuklah sentimen kaum dan agama,” jelasnya lagi.

Rancangan untuk mengadakan himpunan itu diumumkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada malam Sabtu semasa Himpunan Perpaduan Ummah bersama PAS di Pasir Salak, Perak.

“Saya ingin mengesahkan Umno akan mendukung perhimpunan ini di Kuala Lumpur. 

“Kita ketepikan perbedaan pegangan politik. Ini bukan perhimpunan Umno dan PAS tetapi perhimpunan ummah dan rakyat Malaysia,” kata Zahid.

Rancangan Putrajaya untuk meratifikasi ICERD mendapat kecaman yang hebat hingga Zahid menyatakan, orang Melayu sedia mengamuk jika ia ditandatangani kerajaan. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen