China perluas larangan import sisa


CHINA akan memperluaskan pengharaman import sisa pepejal, lapor media tempatan hari ini.

Pengharaman itu diumumkan setelah hampir setahun ia menjadi tajuk hangat di negara-negara yang menghantar sisa sampah mereka kepada gergasi Asia itu.

Tindakan pengawalseliaan, yang memperluas larangan 32 kategori sisa pepejal daripada 24 kategori yang diumumkan tahun lalu akan berkuat kuasa mulai 31 Disember, menurut agensi berita rasmi Xinhua, memetik empat agensi kerajaan China.

Jenis produk baru yang dilarang termasuk perkakasan, kapal, bahagian kereta, sisa keluli tahan karat, titanium dan kayu, kata Xinhua.

Pengharaman awal telah menyebabkan masalah di seluruh dunia apabila pengusaha pengitar semula disekat daripada pasaran utama mereka itu bagi bahan buangan.

Di peringkat global, sejak 1992, 72 peratus sisa plastik telah berakhir di China dan Hong Kong, menurut satu kajian jurnal Science Advances.

China membeli lebih separuh daripada bahan-bahan buangan yang dieksport Amerika Syarikat tahun lalu, namun jumlah itu jatuh apabila langkah pengawalseliaan Beijing itu menyekat syarikat buangan yang mempunyai pelanggan dari China.

China berkata perubahan dasar itu sejajar dengan usaha baru untuk melindungi alam sekitar. Mereka sedang berusaha untuk menjadikan Beijing bukan lagi dikenali sebagai tong sampah dunia, atau bahkan tong kitar semula.– AFP, 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen