BINTANG liga ragbi Jarryd Hayne dilaporkan ditahan polis Australia hari ini atas tuduhan serangan seks.
Insiden itu adalah insiden kedua yang didakwa dilakukan oleh pemain ragbi berprofil tinggi itu.
Hayne, 30 tahun, disoal siasat Polis New South Wales atas kejadian yang didakwa berlaku di wilayah Hunter, utara Sydney pada malam pertandingan akhir Liga Ragbi Nasional pada akhir September lalu, lapor media tempatan.
“Detektif dari skuad penderaan kanak-kanak dan jenayah seks menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di Balai Polis Ryde pada jam 4 petang hari ini,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP tanpa menyebut nama penuh individu yang ditahan.
Hayne pergi ke balai polis Sydney bersama peguamnya selepas mangsa yang mendakwanya, seorang wanita berusia 20 an, disoal siasat penyiasat minggu lalu, lapor stesen penyiaran komersial Channel Ten.
Pemain ragbi itu, yang pulang ke Australia pada tahun 2016 selepas gagal bersinar di NFL Amerika, sebelum ini dilaporkan menghadapi tuntutan sivil di Amerika Syarikat atas tuduhan hubungan seks tanpa persetujuan wanita pada tahun 2015.
Hayne kini tidak menjadi ahli mana-mana kelab NRL selepas musimnya berakhir di kelab Parramatta Eels. – 19 November, 2018.
Komen