SPRM siasat pegawai kanan undang-undang selepas dakwaan mengejutkan


Alfian Z.M. Tahir Bede Hong

PENGAH Pusat Timbang Tara Asia (Malaysia), Prof. Dr. Sundra Rajoo yang kini menanti kontrak baru, sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu pejabatnya hari ini.

Sundra, yang dilantik kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sedang disiasat kerana didakwa menggunakan dana yang diberikan kerajaan untuk mendapatkan bantuan daripada menteri kabinet lalu dan sekarang bagi melanjutkan kontraknya.

The Malaysian Insight difahamkan bahawa petugas SPRM petang ini menyerbu pejabat pusat timbang tara di Kuala Lumpur.

“SPRM menyerbu pejabatnya dan beberapa kakitangan disoal siasat,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Difahamkan, siasatan itu bermula dengan surat tanpa nama yang ditujukan kepada SPRM berisi perincian kesalahan yang dijalankan oleh Sundra.

Surat itu dibawa kepada Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Polis Negara Fuzi Harun, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese dan pegawai kanan kerajaan yang lain.

Sundra dilantik sebagai pengarah KLRCA pada tahun 2010 dan tempohnya dilanjutkan dari Februari 2016 oleh kerajaan sebelum ini.

Surat tersebut, yang tular di media sosial, juga mendakwa bahawa Sundra telah mendekati menteri kabinet pada waktu ini untuk melanjutkan kontraknya menjelang Februari, 2019.

Pada satu sidang undang-undang baru-baru ini di Kota Kinabalu, Menteri Undang-undang Liew Vui Keong berkata kabinet Pakatan Harapan akan memutuskan sama ada akan memanjangkan tempoh Sundra sebagai pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia).

“Itu akan diserahkan kepada kabinet untuk memutuskan sama ada tempohnya akan dilanjutkan atau tidak,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Mengenai tuduhan terhadap Sundra dalam surat itu, Liew berkata beliau mengetahuinya.

The Malaysian Insight turut cuba menghubungi Sundra untuk mengulas dan masih menunggu jawapan beliau.

AIAC yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), yang dinamakan semula pada bulan Februari tahun ini.

AIAC adalah yang pertubuhan pertama seumpamanya yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia Afrika (AALCO), sebuah organisasi antarabangsa yang terdiri daripada 47 negara anggota dari seluruh rantau itu.

Dibentuk dalam perjanjian antara Malaysia dan AALCO, AIAC adalah institusi timbang tara bukan kerajaan yang bukan bertujuan keuntungan, yang mempunyai kebebasan dan keistimewaan tertentu dan kekebalan oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan menjalankan fungsinya.

Peranan AIAC adalah untuk membantu menyelesaikan pertikaian rentas sempadan dan menyediakan khidmat guaman syarikat-syarikat, pengurusan kanan dan pemegang saham menerusi proses timbang tara antarabangsa. Timbang tara adalah penyelesaian undang-undang pertikaian di luar mahkamah.

Sundra juga merupakan presiden Institut Penimbang Tara Bertauliah (CIArb) sejak 2016. Beliau juga merupakan presiden pengasas Persatuan Undang-undang Pembinaan, Malaysia dan bekas presiden Penggabungan Timbang Tara Serantau Asia Pasifik (APRAG), yang merupakan sebuah persekutuan hampir 40 institusi timbang tara di rantau Asia Pasifik, menurut laman web AIAC.

Sundra menuntut undang-undang di University of London, England. Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam Undang-undang Pembinaan dan Timbangtara (Dengan Merit) dari Leeds Metropolitan University dan Sarjana Undang-undang dari Manchester University, menurut laman web timbang tara peribadinya. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen