Rosmah sekali lagi disoal polis


Alfian Z.M. Tahir

Rosmah Mansor dipanggil polis sekali lagi hari ini untuk soal siasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

ISTERI bekas perdana menteri, Rosmah Mansor disoal siasat oleh Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) PDRM hari ini.

Rosmah yang sudah dua kali didakwa tiba di Ibu Pejabat Amla pada jam 9.30 pagi tadi.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight yang Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut siasatan.

Awal Oktober lalu, Rosmah minta dibicarakan untuk 17 pertuduhan.

12 pertuduhan tersebut melibatkan pengubahan wang haram berkaitan transaksi melibatkan akaun Affin Bank antara akhir 2013 dan hujung tahun lepas.

Beliau juga minta dibicarakan untuk lima pertuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut kertas pertuduhan, Rosmah didakwa menerima bayaran berjumlah RM500,000 dalam tiga transaksi pada Disember 2013.

Beliau juga dikatakan menerima RM100,000 pada 2 Januari 2014, RM100,000 pada 29 Januari 2014, RM200,000 pada 28 Februari 2014, RM100,000 pada 14 Mac 2014 dan RM100,000 pada 8 April 2014.

Terdapat lapan lagi transaksi berjumlah RM1. Juta antara 4 September hingga 22 Disember 2014.

Pada 2015 pula, beliau dituduh menerima 127 transaksi berjumlah RM3.853 juta menggunakan akaun yang sama, dan tahun berikutnya beliau dituduh menerima RM510,000.

Kertas pertuduhan juga menyatakan pada 29 Mac tahun lepas, beliau dituduh menerima RM30,000 menerusi lima transaksi.

Berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan pulangan cukai, Rosmah didakwa kerana gagal mengisytiharkan pulangan cukai berjumlah RM500,000 pada 2014, RM2.24 juta (2015), RM3.853 juta (2016) dan RM510,000 (2017). Beliau juga dituduh gagal mengisytiharkan cukai sebanyak RM30,000 tahun ini. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen