LIM Guan Eng akan membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kerana menuduh setiausaha agung DAP itu tidak menghormati raja-raja Melayu.
Lim yang juga menteri kewangan berkata, Razman memutarbelitkan kenyataannya berhubung darjah kebesaran istana sebagai anti Melayu dan anti raja-raja Melayu.
Jelas Lim, kenyataannya sebelum ini bersifat nasihat kepada ahli-ahli DAP dan bukan mahu berlaku biadab terhadap raja-raja Melayu.
“Saya nasihatkan anak-anak buah supaya jangan berkejar-kejar untuk dapatkan pangkat ‘Datuk’.
“Saya hanya sebut untuk ahli-ahli pemimpin parti janganlah dalam masa singkat, tidak sampai enam bulan pula sudah dapat anugerah atau minta untuk anugerah ‘Datuk’ contohnya di Melaka,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Lim mengulas kenyataan Razman yang juga bendahari PAS yang menyelar DAP kerana enggan menerima darjah kebesaran istana kononnya sebagai sikap biadab parti itu kepada raja-raja Melayu.
Beliau membuat kenyataan itu ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak, hujung minggu lalu.
Lim turut memberi contoh Allahyarham Ghafar Baba yang ketika berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri tidak menerima anugerah “Datuk” dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Ghafar Baba.
Ghafar Baba hanya menerima gelaran Tun selepas tidak lagi aktif politik pada 1995.
“Adakah itu pun dianggap sebagai satu tindakan anti raja atau anti Melayu? Saya harap jangan bangkitkan permusuhan antara kaum.
“Tindakan akan diambil dan saya akan kaji daripada segi perundangan dan juga jenayah. Tindakan sedemikian yang cuba mghasut sentimen (negatif) terhadap saya adalah sesuatu yg tidak bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Oktober lepas, isu darjah kebesaran kepada pemimpin DAP jadi isu selepas dua wakil rakyatnya di Melaka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir, Tek Kok Kiew yang juga pengerusi DAP negeri dan Adun Bemban, Wong Fort Pin dianugerah gelaran “Datuk” sempena ulang tahun Yang Dipertua Negeri Mohd Khalil Yaakob.
Dua menteri DAP Sabah juga sebelum itu dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran “Datuk”.
DAP dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya pada 15 Oktober lalu mengulangi keputusan badan itu 10 tahun lalu bahawa wakil rakyat DAP dan ahli majlis tempatan tidak akan menerima anugerah atau gelaran semasa masih aktif dalam perkhidmatan.
Mereka hanya boleh menerima anugerah dan gelaran selepas bersara, putus mesyuarat itu. – 19 November, 2018.
Komen