Sikap tamak mudahkan sindiket penipuan


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siber ​​dan Multimedia) Ahmad Noordin Ismail berkata ramai yang menjadi mangsa penipuan kerana sikap tamak dan mahu mendapatkan wang dengan cara mudah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2018.

POLIS menyaksikan peningkatan mendadak kerugian rakyat Malaysia akibat penipuan Macau dalam tempoh setahun lepas - daripada RM44 juta tahun lepas kepada RM107 juta setakat tahun ini. Bilangan laporan polis juga turut meningkat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siber ​​dan Multimedia) Ahmad Noordin Ismail memberitahu The Malaysian Insight ramai yang menjadi mangsa penipuan kerana mereka tamak dan mahu mendapatkan wang dengan cara mudah.

Ahmad berkata banyak mangsa tidak berfikir dua kali kerana “dibutakan” oleh jumlah wang hadiah yang disebut oleh penipu.

“Rakyat Malaysia mudah ditipu, mereka tidak berfikir dua kali apabila mendengar tentang wang hadiah besar, mereka hanya nampak ringgit dan  tidak peduli sama ada dalam bentuk SMS atau e-mel.

“Sebaik sahaja dengar jumlah itu, mereka percaya ia benar,” katanya dalam temu bual.

Beliau berkata demikian susulan sikap kebanyakan mangsa yang ingin mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Ramai yang tamak untuk menghasilkan wang dengan cara yang mudah. ​​Mereka tidak peduli selagi mereka mendengar jumlah wang yang besar, walaupun berpendidikan tinggi

“Itulah sebabnya angka-angka ini terus meningkat. Ketamakan dan ingin menghasilkan wang dengan cara mudah. Jadi, mereka ditipu kerana percaya akan mendapatkan wang itu,” katanya.

Menurut statistik polis, tahun ini sahaja, terdapat 1,847 laporan polis dibuat oleh mangsa dan jumlah sebenar kerugian ialah RM107,16 juta. Tahun lepas, 1,414 laporan dibuat dan angka ia berjumlah RM44.868 juta.

Jumlah kes meningkat secara drastik sejak 2016. Dua tahun lalu, hanya 396 kes dilaporkan dan jumlah kerugian hanya pada RM18.26 juta.

Noordin berkata, penipu kini canggih dan boleh menipu mangsa agar mempercayai apa yang ditawarkan tidak menyalahi undang-undang.

“Ia kedengaran tidak menyalahi undang-undang dan sah. Mereka akan membuatkan anda percaya yang mereka tidak menipu.

“Cara mereka menjelaskan ‘peraduan’ begitu meyakinkan dan ramai yang terpedaya.

“Anda tidak akan menyedari ditipu sehingga semuanya sudah terlambat.”

Mengulas mengenai penipuan cinta (love scam), Ahmad berkata sindiket itu akan menjadikan mangsa wanita kesepian dengan membuat mereka berasa istimewa.

Mereka akan berbicara dengan baik dan bermanis mulut dengan mangsa, berjanji mengirim hadiah dari luar negara dan tiket perjalanan untuk bertemu dengan wanita berkenaan.

“Mereka sangat pandai bercakap, mulut manis. Mereka akan membuatkan anda berasa begitu istimewa. Mereka akan menggunakan ayat ‘saya rindukan anda’ kemudian ‘saya sayangkan anda’ sebelum membuat janji lain.

“Kebanyakan mangsa adalah wanita yang kesepian. Wanita yang tidak mempunyai cinta atau kekasih. Sesetengah kes melibatkan lelaki tetapi tidak banyak.

“Apabila mangsa sudah terikat, penipu akan mula menipu agar menghantar wang kepadanya. Mereka akan memberikan segala alasan untuk membuatkan anda menghantar wang itu,” katanya.

Ahmad berkata ramai rakyat Malaysia masih tidak tahu mengenai sindiket penipuan, menegaskan ketamakan menjadi punca utama masalah itu.

“Kesedaran masih rendah. Orang ramai tidak peduli dan seperti saya katakan, faktor tamak dan mahu membuat wang dengan cara  mudah.” – 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen