Kalau ada jawatan Kabinet satu kelebihan, kata Haniza


Nabihah Hamid

Haniza Talha (kanan) ketika menerima surat lantikan rasmi sebagai ketua Wanita PKR daripada Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa kongres parti hujung minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 November, 2018.

KETUA baharu Wanita PKR Haniza Talha percaya beliau akan dapat mengangkat suara wanita di peringkat nasional walau tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.

Adun Lembah Jaya itu juga yakin akan dapat menyalurkan banyak idea pembaharuan daripada sayapnya yang didominasi barisan baharu pemimpin dari negeri Selangor.

“Walaupun kita pimpinan peringkat negeri, kita sentiasa ke depan dalam apa-apa isu. Kalau kerajaan negeri pun menjadi ikutan, Wanita PKR juga pencetus kepada idea-idea baru. 

“Saya rasa (tiada jawatan di peringkat nasional) tidak akan jadi halangan. Kita akan pengaruhi pandangan dan pendirian parti.

“Jawatan bukan isu tapi (jika ada) ia beri kelebihan. Tiada jawatan tadak akan menghentikan kita daripada berusaha capai objektif perkasakan wanita,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Haniza menjadi Adun sejak 2008, dua penggal di Taman Medan dan kini di Lembah Jaya. Beliau juga ketua Wanita PKR keempat selepas Animah Ferrar, Fuziah Salleh dan Zuraida Kamaruddin.

Beliau serta timbalannya Daroyah Alwi daripada kem diterajui Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali yang mengalahkan Fuziah Salleh dan Rodziah Ismail daripada kem Rafizi Ramli. 

Haniza berkata beliau yakin akan dapat menyatukan semula sayap tersebut yang terjejas akibat pemilihan. 

“Saya yakin selepas pemilihan selesai, kesemuanya akan bersatu semula. Kita sebuah keluarga besar dan tidak perlu bermusuh antara satu sama lain,” katanya anak kelahiran Perak itu lagi.

Akar umbi Wanita juga melihat Haniza popular di peringkat akar umbi kerana bekas timbalan Speaker DUN Selangor itu sudah meluaskan pengaruhnya di seluruh negeri.

Graduan seni bina Universiti Sheffield, United Kingdom itu dikenali aktif melalui program bantuan dan kebajikan sejak tiga tahun lalu.

Syarul Ema Rena Abu Samah berkata Haniza Talha sangat aktif dan popular di kalangan akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018.

“Selain daripada gerak kerja di Selangor, Haniza sangat aktif dalam program kebajikan seluruh negara.

“Kita akan turun jelajah untuk dengar suara wanita seluruh negeri,” kata anggota wanita Syarul Ema, yang terkenal dengan gelaran Ratu Naga. 

Timbalan Ketua Penerangan Wanita PKR Shankeri Arumugam pula melihat sayap Wanita di bawah Haniza akan terus lantang seperti mantannya, Zuraida Kamarudin. 

“Wanita PKR dari dulu berdikari. Saya yakin Haniza mampu jadi suara wanita dan lantang menegur kepimpinan,” katanya. 

Bagaimanapun, penganalisis sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi berkata Haniza bakal menempuh cabaran besar untuk membawa imej nasional.

Ini kerana Haniza perlu memperlihatkan sayap itu setaraf dengan bekas menteri Rafidah Aziz sewaktu Umno menerajui kerajaan terdahulu selain popular seperti puteri reformasi Nurul Izzah Anwar. 

“Wanita perlu ikon nasional kerana ia dijadikan sebagai kayu ukur di mata rakyat. Adakah wanita sekarang (Haniza) mampu galas imej seperti tokoh wanita Rafidah Aziz? 

“Adakah mampu sebaris dengan populariti Nurul Izzah sebagai pemimpin wanita? Wanita PKR perlu jadi suara golongan itu dan bawa di peringkat nasional,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 20 November, 2018.

Ketua Wanita PKR Haniza Talha (kiri) dan Timbalan Ketua Wanita Dr Daroyah Alwi ketika menerima surat lantikan rasmi jawatan masing-masing daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen