Menteri luar Britain lawat Iran bincang isu nuklear


Menteri Luar Britain Jeremy Hunt melawat Iran untuk berbincang isu nuklear, penahanan warganya di Iran serta perang Yaman. Lawatan pertama dilakukan menteri negara Barat selepas AS mengenakan sekatan ke atas Iran. – Gambar EPA, 19 November, 2018.

MENTERI Luar Britain Jeremy Hunt melawat Iran buat pertama kali pada Isnin untuk berbincang tentang perjanjian nuklear dan pembebasan warga UK yang ditahan dalam penjara Iran.

Iran masih mematuhi syarat perjanjian nuklear dengan kuasa besar dunia menurut laporan terbaru badan pemantau tenaga atom PBB minggu lepas, beberapa hari selepas AS mengenakan sekatan ke atas negara itu.

Presiden AS Donald Trump secara drastik meningkatkan tekanan ke atas Tehran, menarik diri daripada perjanjian nuklear antarabangsa bertujuan menamatkan program nuklear serta memperkenalkan beberapa sekatan.

Lawatan Hunt itu adalah yang pertama dilakukan menteri luar Barat selepas AS menarik diri daripada perjanjian nuklear tersebut.

“Perjanjian nuklear Iran masih kekal jadi komponen penting dalam kestabilan Timur Tengah dengan menghapuskan ancaman Iran yang ada nuklear,” kata Hunt dalam satu kenyataan dikeluarkan di London.

“Ia memerlukan pematuhan 100% untuk berjalan. Kami akan kekal dengan pendirian selagi mana Iran patuh.

Hunt akan bertemu Menteri Luar Mohammad Javad Zarif untuk berbincang tentang usaha bantuan Eropah dalam sekatan dikenakan.

Hunt juga akan berbincang tentang peranan Iran dalam konflik Syria dan Yaman, serta penahanan dua warga Britain-Iran.

Salah satu kes yang jadi tumpuan melibatkan Nazanin Zaghari-Ratcliffe yang dipenjarakan lima tahun kerana didakwa menghasut. – AFP, 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen