Dalang bunuh wartawan Malta dikenal pasti


Caruana Galizia yang dibunuh pada 16 Oktober tahun lepas ketika berusia 53 tahun sedang menyiasat dan mendedahkan skandal penyeludupan petrol dan pengubahan wang haram melibatkan pemimpin kerajaan dan kumpulan jenayah terancang. – Gambar EPA, 19 November, 2018.

DALANG letupan kereta pada 2017 yang membunuh wartawan Malta dan penulis blog Daphne Caruana Galizia telah dikenal pasti menurut sumber polis dipetik akhbar The Sunday Times of Malta.

Laporan memetik sumber seorang pegawai kanan yang berkata terdapat sekumpulan “lebih daripada dua orang” warga Malta yang dikenal pasti mengarahkan pembunuhan itu.

Tiga suspek sudah ditahan kerana melakukan pembunuhan itu dan menunggu bicara, tetapi identiti siapa yang mengarahkannya masih misteri.

Caruana Galizia yang dibunuh pada 16 Oktober tahun lepas ketika berusia 53 tahun sedang menyiasat dan mendedahkan skandal penyeludupan petrol dan pengubahan wang haram melibatkan pemimpin kerajaan dan kumpulan jenayah terancang.

Blognya juga menyerang ahli politik Malta.

Anaknya, Mathhew bulan lepas mengecam pentadbiran yang disifatkannya melindungi dalang pembunuhan ibunya.

Beliau percaya pembunuhan itu dilakukan atas arahan tokoh berpengaruh dan berkata “ia menghantar mesej buruk sekiranya hanya mereka yang menekan butang meletupkan bom dipenjarakan”.

Tiga lelaki sedang menunggu perbicaraan untuk pembunuhan itu. Adik beradik Alfred Degiorgio dan George Degiorgio serta Vince Myscat ditahan pada 4 Disember tahun lepas dan didakwa kerana membunuh. Kes itu masih tertangguh.

Pada Ahad, keluarga Caruana Galizia berkata mereka masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh polis tentang perkembangan terbaru itu. – AFP, 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen