PRESIDEN AS Donald Trump berkata beliau sudah diberikan taklimat penuh tentang rakaman audio pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi tetapi tidak mahu mendengarnya sendiri.
“Kerana ia adalah rakaman penderitaan (bunuh). Rakaman yang tertuk,” katanya pada wawancara bersama Fox News Sunday.
“Ia sangat ganas, sangat kejam dan teruk.”
Trump mengelak daripada menyalahkan Putera Mahkota Putera Mohammed Bin Salman, walaupun CIA dilaporkan menyimpulkan yang putera tersebut mengarahkan pembunuhan pada 2 Oktober itu di Konsulat Saudi di Istanbul.
Trump pada Sabtu memberitahu wartawan yang AS akan mengeluarkan “satu laporan penuh” berkaitan hal tersebut seawal Isnin. Beliau diwawancara Fox pada Jumaat.
Ditanya sama ada putera mahkota itu berbohong kepadanya apabila menafikan peranannya dalam pembunuhan itu, Trump berkata: “Saya tak tahu. Siapa yang tahu? Tetapi saya boleh kata, dia ada ramai orang…yang kata dia tak tahu.”
“Dia beritahu saya dia tak tahu apa-apa. Dia beritahu saya, saya boleh kata, mungkin sudah lima kali, terbaru beberapa hari lepas,” tambah Trump.
Presiden mengakui yang orang rapat dengan putera tersebut “mungkin terlibat” tetapi menambah “saya mahu terus bersama sekutu yang dalam banyak keadaan sangat baik.”
Ditanya sama ada beliau akan menerima desakan Kongres AS untuk menghentikan penglibatan AS dalam perang di Yaman yang diketuai Saudi atau menghentikan jualan senjata api kepada negara itu, Trump berkata:
“Saya mahu lihat Yaman berakhir. Tetapi ia perlukan kerjasama semua pihak dan Iran pun perlu berhenti,” katanya. “Saya mahu Saudi berhenti tetapi saya juga mahu Iran berhenti.”
AS sudah menggesa gencatan senjata dan rundingan damai dilakukan untuk menghentikan konflik yang sudah masuk tahun ketiga itu ketika desakan antarabangsa semakin memuncak disebabkan jumlah korban orang awam yang semakin meningkat dalam serangan.
Tentera udara AS terlibat dalam pertempuran menyokong operasi udara diketuai Saudi di Yaman berakhir minggu lepas. Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis menyifatkannya sebagai keputusan Saudi.
Saudi dan sekutunya, Emiriah Arab Bersatu masuk campur dalam konflik menentang pemberontak Huthi yang disokong Iran pada 2015 untuk menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.
Khashoggi, kolumnis akhbar The Washington Post yang merupakan pengkritik utama putera mahkota tersebut dibunuh selepas memasuki Konsulat Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen diperlukan untuk berkahwin dengan tunangnya, seorang warga Turki.
Menurut pegawai Turki, audio itu menunjukkan Khashoggi dicekik sampai mati dan mayatnya dilupuskan sebaik sahaja memasuki konsulat.
Arab Saudi mengubah banyak kali naratif kejadian, pada mulanya berkata Khashoggi meninggalkan kedutaan selepas menerima dokumennya dan tidak lama kemudian mengaku wartawan itu terbunuh selepas pergaduhan tercetus.
Dalam versi terbaru, pendakwa raya Saudi berkata pasukan 15 orang pergi ke Istanbul untuk membawa Khashoggi pulang ke negara itu tetapi membunuhnya dalam operasi yang tidak dapat kelulusan.
Pendakwa raya melepaskan putera mahkota itu, selepas mendakwa 11 warga Saudi dan memecat lima pegawai, termasuk dua pegawai kanan putera tersebut.
AS sudah mengenakan sekatan terhadap 17 orang warga Saudi yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu. – AFP, 19 November, 2018.
Komen