Rangka lengkap berusia 7,000 tahun ditemui di hulu Kelantan


Salhan K. Ahmad

Pegawai Sains Muhamad Shafiq Mohd Ali mengesahkan rangka dipercayai remaja perempuan era Hoabinh itu ditemui di Gua Chawan, kira-kira 45 minit perjalanan dari Pos Tohoi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

PENGKAJI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui satu rangka lengkap dianggar berusia 7,000 tahun dalam satu gua di pedalaman Gua Musang.

Pegawai Sains Muhamad Shafiq Mohd Ali mengesahkan rangka dipercayai remaja perempuan era Hoabinh itu ditemui di Gua Chawan, kira-kira 45 minit perjalanan dari Pos Tohoi.

“Rangka itu dianggarkan berusia 7,000 tahun tetapi fakta tersebut hanya akan dapat dipastikan selepas proses pentarikhan di makmal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penemuan itu dijangka memberi maklumat baharu mengenai susur galur masyarakat awal di semenanjung selepas penemuan rangka prasejarah Perak Man dan Perak Woman.

Perak Man dianggarkan berusia di antara 10,000 hingga 11,000 tahun dan ditemui pada 1991 di Gua Bukit Runtuh di Gunung Batu Kapur Kepala Gajah.

Selang 13 tahun kemudian, pengkaji menemui Perak Woman di Gua Batu Kelawar, juga di kompleks gunung sama di Lenggong, Perak.

Lokasi Gua Chawan juga hampir dengan Gua Cha yang menjadi lokasi penemuan artifak dan rangka manusia purba dalam ekskavasi pada 1935.

Mohamad Shafiq berkata ekskavasi di Gua Chawan dibuat untuk penilaian lokasi selepas dikenalpasti sebagai tapak bernilai sejarah dalam ekspedisi pengkaji terdahulu.

“Kami jumpa alat-alat batu. Bila lakukan ekskavasi, barulah kami jumpa rangka manusia.

“Buat masa ini kami jumpa satu rangka, lengkap daripada kepala sampai kaki. Kemungkinan ia rangka seorang remaja perempuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Turut ditemui semasa ekskavasi pada 4 November lalu adalah artifak dipanggil “bekal kubur” iaitu barangan iringan semasa pengebumian.

“Kami dapati banyak alat batu, ditemui pada paras yang sama dengan tulang,” kata Muhamad Shafiq.

Antaranya peralatan itu adalah batu pelandas atau pemukul diperbuat daripada batu sungai yang kesemuanya diserahkan kepada Jabatan Muzium untuk pentarikhan, katanya lagi.

Jelasnya lagi, gua batu kapur itu terletak di tepi Sungai Jenera yang merupakan salah satu anak kepada Sungai Nenggiri.

Gua terbuka itu didapati terletak berhampiran dengan satu penempatan Orang Asli yang sudah ditinggalkan.

“Mungkin orang kampung itu sekarang bertebar ke Pos Tohoi dan Pos Gob. Di seberang sungai itu pula ada Kampung Gemalah,” kata Muhamad Shafiq lagi. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen