20 tahun perjuangan telah direntasi dan PKR akhirnya berjaya mencapai dua perkara.
Pertama, parti yang bermula dengan protes jalanan dan segelintir aktivis akhirnya mencapai matlamat mereka bagi mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional pada 9 Mei.
Dan kedua, parti yang bermula selepas pemenjaraan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 akhirnya meletakkan beliau sebagai presiden kedua parti itu.
Muncul sebagai parti tunggal terbesar di Parlimen hari ini selepas Umno dikurangkan kepada 48 ahli Parlimen, ia adalah pencapaian yang begitu baik bagi sebuah parti yang pernah dikenali sebagai parti nyamuk dengan hanya satu kerusi pada tahun 2004.
Jadi apa yang akan berlaku untuk PKR pada masa akan datang?
“PKR mesti kekal sebagai parti berhaluan tengah yang menjaga kepelbagaian di Malaysia dan akomodatif kepada semua,” kata ahli strategi parti Sim Tze Tzin.
Hanya parti berhaluan tengah yang boleh berjaya dalam konteks Malaysia, kata Sim di luar dewan acara kongres parti itu di Shah Alam.
Beliau berkata Umno dan Barisan Nasional dulu menjadi parti pusat yang memenuhi semua tetapi ia telah berpindah menjadi sangat condong ke haluan kanan apabila mempunyai hubungan erat bersama PAS.
“Namun menunjukkan bagaimana parti berhaluan tengah boleh memberi manfaat kepada semua orang di Malaysia yang masih konservatif adalah cabaran besar bagi PKR untuk bergerak ke hadapan,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Berlawanan dengan kepercayaan popular, Sim berkata, konservatif bukan hanya terhad kepada orang Islam Melayu.
“Orang Cina boleh jadi konservatif, melihat reaksi mereka terhadap rancangan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.
Sim berkata PKR boleh mencapai matlamat ini dengan membentuk dasar yang mahu mengagihkan kekayaan secara lebih baik, meningkatkan kebebasan asasi, memulihkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan untuk semua.
“Keadilan tidak hanya dari segi pentadbiran undang-undang tetapi pengagihan kekayaan yang lebih adil,” tambahnya.
Melangkah ke hadapan, Sim berkata perkara itu perlu ditingkatkan dengan mewujudkan pendidikan politik ahli-ahlinya supaya dapat mendidik orang lain, terutama di negeri-negeri konservatif seperti Kelantan dan Terengganu.
Sim turut membantah tanggapan bahawa PKR lemah di bahagian akar umbi.
“Kami mempunyai 222 bahagian, merangkumi semua kerusi Parlimen dan pada satu ketika seorang ahli parlimen dipilih di setiap negeri. Dan kita boleh manfaatkan kekuatan kerajaan persekutuan kita untuk memperluaskannya ke kawasan luar bandar.”
Pemilihan parti yang celaru
Namun bolehkah parti itu pulih selepas pemilihan parti yang membabitkan dua ikon yang popular - pejuang lama parti yang berada di kedudukan nombor dua Mohamed Azmin Ali dan pejuang parti yang lantang Rafizi Ramli?
“Cabaran besar adalah untuk menghapuskan semua kempen buruk dalam tempoh dua bulan lalu dan bersatu,” kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.
Namun bagi Amirudin, yang pernah mengambil bahagian dalam enam pilihan raya parti sejak tahun 2001, merasakan walaupun ia tegang, ia bukan yang paling buruk yang pernah disaksikan beliau.
“Jumlah pemilihan semula dan insiden kekerasan di stesen-stesen pengundian berjaya dikurangkan berbanding 2010 dan 2014,” kata ahli politik berusia 38 tahun itu.
Beliau mengakui senarai keanggotaan bermasalah, kata Amirudin, atas dakwaan bahawa terdapat pengundi hantu dan lonjakan mendadak anggota parti di beberapa bahagian semasa pemilihan parti.
“Jadi ini adalah sesuatu yang perlu dibersihkan.”

Tetapi untuk bergerak ke hadapan, Amirudin berkata cabaran yang lebih besar adalah untuk meningkatkan imej parti di kalangan bukan ahli.
“Kita perlu memperbaiki reputasi parti kerana ia perlu menaikkan perdana menteri seterusnya (Anwar Ibrahim). Parti itu harus menunjukkan bahawa ia cukup dipercayai untuk menonjolkan bakal perdana menteri.
“Oleh itu, tugas pertama adalah untuk pemimpin yang terpilih adalah untuk memahami peranan struktur parti dan bagaimana keputusan hanya dibuat oleh Majlis Perwakilan Pusat (MPP).
“Ketekunan wajar dihormati dan kita mesti disiplin dengan parti untuk memastikan hal ini,” kata Amirudin, yang menggantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor pada bulan Jun.
Beliau berkata ahli dan orang awam tidak sepatutnya bimbang tentang masa depan Rafizi.
“Pengalaman saya dalam parti ialah selepas pilihan raya, masih ada peranan bagi mereka yang kalah dan mereka akan diberikan amanah selagi mereka bersedia.”
Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata walaupun parti itu memilih haluan tengah dan menanamkan disiplin parti untuk terus menerajui agenda pembaharuan, ia perlu membuang imejnya sebagai parti yang bersifat peribadi.
“Ia dibina sebagai parti pembaharuan dan mesti dicerminkan dalam tindakannya. Ia juga harus bertindak sebagai gam yang mengikat semua parti komponen dalam Pakatan Harapan.
“Tetapi pada satu sisi, ia juga harus menghindari dari menjadi parti orang perseorangan,” kata Tunku Mohar.
Dua jalan menghala hutan, satu ke kiri dan satu ke kanan. Alangkah tepat masanya, apabila jalan tengah muncul dengan tokoh utama PKR yang paling terkenal itu kembali menjengah ke arena kepimpinan negara. – 19 November, 2018.
Komen