Jangan hakimi saya kerana asal-usul saya, kata Shafie


Jason Santos

Shafie Apdal tidak mahu asal-usul etnik menjadi masalah di negeri Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2018.

KETUA Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal hari ini menyatakan bahawa negeri itu tidak akan maju jika kumpulan etniknya masih memiliki masalah mengenai asal-usul tradisi warganya.

“Bukan satu tugas yang mudah untuk menyatukan rakyat, menjangkaui garis bangsa dan agama.

“Hukum saya bukan kerana asal-usul saya, janganlah hukum saya berdasarkan agama saya, tetapi hakimi saya dengan apa yang telah saya lakukan dan akan lakukan untuk rakyat dan Sabah.

“Jika kita tidak dapat membina Sabah, mereka yang akan menyaksikan kegagalan kita adalah keluarga dan generasi akan datang,” katanya pada majlis yang dihadiri ketua dan kakitangan jabatan kerajaan di Kota Marudu, kawasan yang dikenali sebagai kubu kuat Kadazandusun Murut (KDM) dan kawasan yang masih dipertahankan pembangkang.

Beliau berada di daerah luar bandar bagi program “Ketua Menteri Bertemu Rakyat”, yang diadakan awal hari ini.

Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata perkara yang sama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Parti-parti yang yang mempunyai akar umbi KDM, sebelum inimemujuk pengundi untuk tidak memilih Warisan, dengan memberi julukan “Parti Suluk” atau “Parti Lanun” kerana  Shafie memiliki asal-usul pantai timur negeri di bawah bayu itu. 

Pantai timur negeri Sabah juga terkenal masih menghadapi ancaman di sempadannya, termasuk unsur-unsur pengganas. – 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen