Umno Selangor mahu tanding semua kerusi majoriti Melayu


SM Amin

Umno mahu pengagihan kerusi pilihan raya mengikut komposisi kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2018.

UMNO Selangor menuntut agar agihan kerusi di kalangan parti dalam Barisan Nasional (BN) diubah mengikut komposisi kaum pengundi untuk memastikan kemenangan pilihan raya.

Pengerusi Umno Selangor Ismail Sabri berkata sekiranya agihan baharu itu dilaksana, Umno akan dapat menguasai kesemua 37 daripada 56 kerusi negeri itu.

“Kerusi yang majoriti 50% orang Melayu perlu diserahkan kepada Umno. Kita tidak boleh tengok kuota berdasarkan (parti) komponen BN seperti sebelum ini,” katanya.

Jelasnya agihan kerusi mengikut parti sebelum ini tidak menguntungkan hingga menyebabkan terdapat parti yang kalah sejak penamaan calon.

“Kita minta presiden teliti perkara ini dan berbincang dengan komponen kerana yang penting kita hendak membentuk kerajaan dan bukannya bertanding ikut kuota dan akhirnya kita kalah,” katanya.

Selain itu, Umno Selangor juga mencadangkan formula untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan parti berkenaan.

Menurut Ismail, pertembungan tiga penjuru yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menyebabkan PAS dan Umno tewas teruk di Selangor.

“Formula kedua kita perlu bekerjasama dengan PAS. Yang ini kita perlu sokongan daripada akar umbi. 

“Jika kita mampu lakukan, saya yakin sebahagian besar 37 kerusi itu kita mampu rampas semula dan kita boleh menang besar,” ujarnya.

Dalam PRU14 lalu, Umno hanya menang empat kerusi Dun Selangor dan PAS hanya mampu mempertahankan satu kerusi sahaja. 

Jumlah tersebut jauh berbeza dengan prestasi dalam PRU13 sebelum ini yang menyaksikan Umno menang 12 kerusi dan PAS 15 kerusi Dun.

Ismail berkata demikian dalam perjumpaan khas di antara pemimpin bahagian Selangor dengan barisan pemimpin tertinggi termasuk presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi petang ini. – 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen