Menunggu jiwa besar Azmin dan Rafizi


Zainal Rashid Ahmad

KEM Rafizi Ramli kini masih berduka. Kalah kerusi Timbalan Presiden bererti misi Reformasi yang dilaungkan kem Rafizi menemukan titik henti. Kalau ikut mood pemilihan, ahli PKR yang memang bermula dengan agenda reformasi kini memilih idea kem muafakat.

Namun, hakikat sebenar – yang tewas ialah idea reformasi kem Rafizi. Istilah reformasi PKR pastinya tidak akan padam semudah itu. Reformasi PKR telah bergema sejak 20 tahun lalu. Mustahil, ia mati hanya kerana tewasnya kem Rafizi. Agenda reformasi ialah asas kewujudan PKR.

Malah, tema muafakat kem Azmin Ali juga akan berakhir. Tema itu hanya agenda berkempen selama 10 minggu. Setiap kem perlu idea untuk dijual bagi meraih undi 800,000 ahli PKR. Muafakat dalam PKR telah ada dan akan kekal sebagai asas perpaduan parti. Ia bukan lagi idea eksklusif kem Azmin.

Pasukan Rafizi kalah di semua kerusi tertinggi termasuk tiga jawatan Naib Presiden. Hanya Nurul Izzah Anwar yang berjaya dan meraih undi tertinggi. Baki tiga kerusi Naib Presiden milik Zuraida Kamaruddin, Xavier Jayakumar dan Tian Chua. Semua orang Azmin.

Begitu juga sayap wanita yang disapu bersih kem Azmin. Ketua milik Haniza Talha dan naib milik Dr. Daroyah Alwi.

Hanya Akmal Nasir orang Rafizi yang menang tipis Ketua AMK dengan majoriti kurang 50 undi. Rafizi tidak kalah semua. Azmin juga tidak menang semua. Ini kerana PKR akan dipimpin Anwar Ibrahim selaku Presiden parti yang menang tanpa bertanding. Anwar akan mengetuai PKR. Pelan kerja Anwar tidak akan merujuk pada agenda kem Azmin mahu pun kem Rafizi.

Selepas pemilihan, PKR sudah bebas daripada ikatan tema-tema kempen yang popular tetapi kompleks. Apa tidaknya, tema reformasi berteraskan agenda menentang kem Azmin yang dilihat pro Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Manakala kem Azmin dengan tema muafakat mengisyaratkan sindiran balas kepada agenda Rafizi yang dilihat cuba memecah belah hunungan Azmin dengan Dr Mahathir.

Namun, tuduhan Dr Mahathir dan Azmin ada agenda menyisihkan Anwar sudah lama berakhir. Teori konspirasi ini dianggap sudah tidak relevan. Secara umum, semua tahu Anwar akan jadi Perdana Menteri sebelum Jun 2020. Ini janji dan jaminan Dr Mahathir. Ia menghormati tempoh dua tahun menjadi Perdana Menteri seperti dipersetujui Pakatan Harapan (PH).

Selepas 10 minggu kempen yang tegang dan dramatik, kini Azmin dan Rafizi akan jadi perhatian fasa pasca pemilihan PKR. Sikap matang dan jiwa besar mereka dalam berpolitik akan dinilai ahli parti dan rakyat selepas ini.

Secara mental dan fizikal kedua-dua dilihat hebat. Cuma, siapa lebih berjiwa besar akan terserlah dalam percaturan sikap mereka selepas kongres.

Di pentas kongres pada Sabtu, kedua-kedua pemimpin berjulang tangan – tanda menghormati kehendak ahli supaya demam dan perang kempen ditamatkan secara harmoni. Ahli PKR yang matang pastinya sedar, agenda dan peranan PKR dalam kerajaan PH tentunya lebih penting berbanding rentetan krisis Azmin-Rafizi.

Sekarang ini, hampir 500,000 peminjam PTPTN sedang naik angin. Isu Belanjawan 2019 yang tiba-tiba mendesak graduan bergaji RM1,000 ke atas membayar pinjaman antara dua hingga 15 peratus dianggap satu penipuan terbesar Manifesto PH.

Sebelum ini, banyak isu janji manifesto dibangkitkan. Tuduhan terbuka bahawa PH tidak mampu melaksanakan semua janji pilihanraya. Namun, rakyat nampaknya faham. Isu penghapusan tol dan penurun harga minyak tidak mungkin dapat dilaksanakan. Senario ekonomi membuatkan rakyat bersikap realistik.

Namun, Azmin sebagai menteri dalam kabinet PH dan Rafizi sebagai pakar strategi PKR pasti sedar –  respon kemarahan terhadap isu PTPTN kini membara. Anak muda mula cenderung menjerit macam kena tipu dengan PH.

Anak muda benar-benar marah isu kutipan hutang PTPTN. Mekanisme pembayaran yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 lebih buruk berbanding apa yang diamalkan ketika BN. Walaupun semua pasport pelajar yang disenarai hitam telah dihapuskan PH, namun apa yang diumumkan dalam belanjawan terasa
memeritkan.

PKR kena bersedia. Apabila Anwar jadi PM, pimpinan kerajaan PH menuju PRU 15 ditunjangi PKR. Justeru, jangan sampai anak muda marah dan menyatakan undi protes pada PRU 15 nanti. Selain itu, isu FundMyHome juga mencetuskan cakap-cakap kronisme tahap awal. Malah, dianggap bermulanya era kapitalis hartanah.

Azmin dan Rafizi kena bergabung. Dalam krisis PH mulai tidak popular di kalangan anak muda, PKR kena memainkan peranan. Azmin dalam kabinet, Rafizi pula mempunyai Invoke – jentera kaji selidik yang sangat prominan.

Daripada bermusuh baik berdamai. Walaupun menang PRU14 enam bulan lalu, bukan bererti PH sangat gagah. Sudah ada tanda-tanda kemerosotan. Lebih baik berganding tangan dan betulkan dengan segera.

Anak muda termasuk pengundi kali pertama yang bakal mencetak undi pada PRU15 nanti, pastinya bersikap kritikal. Tidak mudah untuk memenangi hati mereka. Kalau PKR selaku parti tunjang PH pun, asyik berbalah sahaja, anak muda akan makin meluat jadinya. – 18 November, 2018.

 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen