Gandingan Anwar-Azmin terajui PKR


Chan Kok Leong

Buat pertama kali dalam sejarah parti, Azmin Ali akan bergandingan dengan mentornya yang juga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang kini jadi presiden. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 November, 2018.

MOHAMED Azmin Ali mengekalkan jawatannya selaku timbalan presiden PKR walaupun berdepan cabaran hebat bekas naib presiden Rafizi Ramli.

Keputusan pemilihan PKR untuk penggal 2018-2021 itu diumumkan di Kongres PKR ke-13 di Shah Alam hari ini.

Turut dipilih sebagai naib presiden ialah Nurul Izzah Anwar, Dr Xavier Jayakumar, Chua Tian Chang dan Zuraida Kamaruddin.

Buat pertama kali dalam sejarah parti, Azmin akan bergandingan dengan mentornya yang juga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang kini jadi presiden.

Anwar menang jawatan presiden tanpa bertanding.

Sementara itu, pemenang untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuklah Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Ahli MPP lain termasuklah Ahli Parlimen Segamat S Santhara, Exco Selangor Hee Loy Sian, Timbalan Menteri Kamarudin Jaafar dan R Sivarasa, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Abdullah.

Sng berdepan situasi janggal apabila diejek selepas namanya diumumkan menang hari ini. Sng menjadi tumpuan selepas kawasannya, Cabang Julau menyaksikan peningkatan keahlian mendadak menjelang pemilihan parti.

Bekas presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa memberi isyarat kepada perwakilan supaya menghentikan ejekan tersebut.

Sementara itu, turut dipilih hari ini ialah Speaker Kedah Ahmad Kassim sebagai pengerusi tetap dan Osman Karim sebagai timbalan pengerusi tetap. – 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen