JUMLAH maut kerana taufan yang melanda pesisir pantai timur India meningkat kepada 33 orang, kata pegawai bencana hari ini ketika pihak berkuasa masih menilai kesan kerosakan taufan kuat itu.
Taufan Gaja yang mencapai kelajuan sehingga 120 kilometer sejam, sudah melanda negeri Tamil Nadu selepas menghentam kawasan pesisir pantai pada Jumaat.
Ribuan pokok tumbang disebabkan angin kencang yang memusnahkan rumah dan memaksa ribuan orang melarikan diri ke pusat perlindungan.
“Setakat ini 20 lelaki, 11 wanita dan dua kanak-kanak terbunuh kerana taufan itu,” kata pegawai pihak berkuasa pengurusan bencana yang minta tidak dinamakan kerana tidak berhak memberi kenyataan media.
“Manakala 177,500 orang lagi ditempatkan di 351 kem. Ribuan pokok tumbang dan haiwan ternakan turut terjejas,” katanya kepada AFP.
Ketua Menteri Edappadi Palaniswami yang mengumumkan pampasan AS$14,000 kepada setiap keluarha mangsa berkata kebanyakan yang terbunuh disebabkan banjir, rumah runtuh dan renjatan elektrik.
Ratusan pekerja kecemasan berdepan tekanan untuk mengembalikan semula perkhidmatan seperti memperbaiki jalan dan menyambung semula bekalan tenaga.
Sebuah helikopter dan kapal tentera laut turut menyertai usaha menyelamat di negeri itu, kata kerajaan tempatan.
Jabatan Kaji Cuaca India berkata taufan itu sudah bergerak ke negeri jiran, Kerala pada Sabtu sebelum bergerak ke Laut Arab.
Gaja adalah taufan kedua terbesar melanda pesisir timur India sejak beberapa bulan lepas. Taufan Titli melanda negeri Odisha pada Oktober, membunuh dua orang.
Taufan sering melanda selatan India antara April dan Disember. Tahun lepas, Taufan Ockhi menyebabkan 250 orang maut di Tamil Nadu dan Kerala. – AFP, 18 November, 2018.
Komen