TIDAK adil untuk orang awam membuat andaian yang penduduk flat kos rendah tidak mempunyai kereta dan kerana itu tidak memerlukan kawasan parkir di kawasan rumah mereka.
Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata demikian ketika mengulas kritikan diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disebabkan rancangannya membina kompleks parkir bertingkat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Kenyataan itu tidak adil untuk memikirkan orang miskin tak boleh ada kereta kerana anda perlu ingat mereka juga mempunyai anak-anak.
“Jika mereka ada tiga orang anak, anda tak boleh minta mereka bawa motosikal,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Graduasi Tabika Kemas di Segambut, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, kebanyakan flat kos rendah tidak mempunyai kemudahan asas seperti parkir.
Tambahnya, kemudahan-kemudahan lain seperti taman awam dan pusat penjagaan kanak-kanak juga perlu dipertimbangkan untuk diwujudkan di flat yang masih dalam pembinaan.
“Saya berkhidmat 10 tahun sebagai wakil rakyat Subang dan saya nampak kebanyakan PPR tidak cukup parkir, sampai ada kereta yang diletak di tepi jalan utama.
“Sudah sampai masanya untuk layan orang miskin dengan bermaruah,” tambah Yeoh.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata pembangunan parkir adalah antara projek yang sedang dikaji DBKL.
Katanya, pembinaan itu akan dilakukan mengikut fasa di lima atau enam lokasi PPR dikenal pasti bagi memastikan penduduk mempunyai kawasan parkir mereka sendiri dan mengelak kereta menghalang jalan utama. – 18 November, 2018.
Komen