PUTRAJAYA sedang berusaha menggalakkan taska untuk mendaftar dengan kerajaan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjaga dan penyeliaan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata setakat tahun ini hanya 10% taska di seluruh negara berdaftar dengan kerajaan.
Bagi memastikan usaha itu mendapat sambutan, kementerian sedang mempertimbangkan beberapa insentif seperti pengurangan tarif elektrik kepada taska yang berdaftar.
“Kami mahu menggalakkan pendaftaran dengan beri faedah kepada taska yang mendaftar.
“Mungkin kami akan bincang dengan syarikat utiliti untuk mengurangkan kos elektrik kepada taska yang berdaftar dengan kami,” katanya pada ucapan di Majlis Graduasi Tabika Kemas di Segambut, Kuala Lumpur.
Katanya, kebanyakan taska yang berada di kawasan perumahan tidak berdaftar kerana mereka tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.
Yeoh berkata, syarat itu termasuklah mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum mereka mendaftar.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak berjaya mendapat kelulusan daripada PBT.
“Ini adalah kerana kejiranan selalunya tidak akan membenarkan taska wujud berhampiran kerana mereka kata budak-budak banyak buat bising,” katanya.

Yeoh menambah, walaupun gagal mendaftar, kebanyakan taska terus beroperasi kerana kekurangan taska di kawasan tersebut dan ibu bapa memerlukan tempat untuk menjaga anak mereka.
“Mereka (pusat) tidak akan ditutup kerana ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke sana dan kerana itulah, ibu bapa tidak akan melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mereka perlukan perkhidmatan tersebut.
“Bila ada permintaan dan bekalan, semua orang akan senyap,” kata Yeoh.
Beliau juga mendedahkan yang kerajaan sedang merancang mewujudkan “sistem pemeriksaan” seluruh negara bagi memastikan mereka yang bertugas di taska tidak merbahaya kepada kanak-kanak.
Katanya, kementerian sedang berhubungan dengan beberapa taska di Putrajaya mengenai perkara itu, tetapi tidak dapat mengulas lanjut kerana kajian masih berjalan.
Beliau juga menyeru ibu bapa supaya mengambil masa memastikan persekitaran taska selamat untuk anak-anak mereka sebelum menghantarnya ke sana.
“Kita perlu periksa semua orang di rumah pengasuh yang berkemungkinan besar cenderung mendera kanak-kanak,” katanya. – 18 November, 2018.
Komen