PKR perlu mengkaji semula sistem pemilihan parti dan menghadkan sistem satu ahli satu undi hanya untuk jawatan kanan sahaja, kata Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Kita adalah satu-satunya parti yang beri satu indu kepada sseorang ahli tetapi mungkin sudah sampai masa untuk kita lihat bagaimana pemilihan parti perlu dijalankan (selepas pemilihan baru-baru ini),” katanya ketika menyampai ucapan penggulungan pada Kongres ke-13 PKR di Shah Alam hari ini.
“Jawatan presiden, timbalan dan naib boleh dibuka kepada semua ahli tetapi bagi jawatan lain, kita perlu balik kepada sistem perwakilan,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu.
Walaupun hampir 80% jumlah keluar mengundi bagi sayap Wanita, sistem itu tidak praktikal kerana “terlalu banyak undi untuk dikira”, kata Nik Nazmi.
Beliau yang akan mengosongkan jawatan ketua Pemuda hari ini turut mencadangkan PKR mengkaji semula had umur bagi pengambilan ahli baharu.
“Susulan cadangan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, parti seperti Umno juga telah menurunkan had umur keahlian kepada 16 tahun manakala PAS aqil baligh.
“Jadi, kita juga harus pertimbangkan untuk pinda perlembagaan parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin juga menyeru perwakilan untuk merapatkan saf berikutan pergolakan semasa pemilihan.
“Semalam, kita menyaksikan perdebatan yang menarik di mana delegasi dari Perlis meminta kita semua bersatu demi kebaikan parti.
“Kita juga melihat seorang abang memeluk adik, menunjukkan kematangan parti ini,” kata ahli Parlimen Ampang itu, yang akan dipilih sebagai naib presiden.
Jadi sudah sampai masanya bagi akar umbi mengukuhkan parti dan menghentikan pertelagahan.
Pemilihan parti baru-baru ini menyaksikan PKR berpecah kepada dua kem - kem Mohamed Azmin Ali dan kem Rafizi Ramli - yang mana kedua-duanya merebut jawatan timbalan presiden.
Pemilihan tersebut melibatkan 150,000 ahli, dicemari dengan dakwaan penipuan, politik wang, undi hilang dan pengundi hantu. – 18 November, 2018.
Komen