Umno ancam gembleng orang Melayu 'mengamuk' bantah ICERD


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ancaman itu pada malam tadi dalam perhimpunan bersama PAS di Pasir Salak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 November, 2018.

UMNO mengancam untuk menggembleng masyarakat Melayu ke jalanan bersama PAS untuk “mengamuk” sekiranya kerajaan tetap mahu meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ancaman itu pada malam tadi dalam perhimpunan bersama PAS di Pasir Salak.

Zahid berkata demikian bagi menyambut kesediaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mengerahkan ahli parti Islam itu ke jalanan untuk membantah pengiktirafan konvensyen antarabangsa itu.

Ketua pembangkang itu menegaskan, Umno dan PAS akan bersatu untuk kempen tersebut yang akan diadakan pada 8 Disember di Kuala Lumpur.

“Jangan sampai orang Melayu amuk. Tetapi kalau amaran Abdul Hadi tidak diendahkan, Umno dan PAS bersatu.

“Kita bukan sekadar memberikan amaran, kita akan buktikan sekiranya tidak ada pengisytiharan menolak Icerd ini, pasti Umno-PAS, orang Melayu-Islam akan bangun di seluruh negara menentangnya. Jangan minta,” katanya.

Dalam ucapan di Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak itu, Zahid mengakui Umno dan PAS selama ini telah melakukan kesilapan dengan bergaduh sesama sendiri.

Ia menyebabkan kedua-dua parti itu tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Bagaimanapun kata Zahid, ianya merupakan kesalahan mantan presiden Umno Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya menanam kebencian di kalangan ahli Umno terhadap PAS selama ini.

Tetapi Dr Mahathir, 93, yang digelarnya “Atok” itu pula kini mesra dengan parti yang ditolak sebelum ini, katanya.

“Daripada 62 tahun kita merdeka, 22 tahun Atok memerintah. Dia ajar kami benci (pada) PAS, DAP dan lain-lain parti tetapi sekarang ini mereka telah cium mulut sesama sendiri,” katanya.

“22 tahun kita ditipu tetapi kali ini mulai 2018, Abdul Hadi dan seluruh kepimpinan PAS, Umno di bawah kepimpinan saya kita bercantumlah.

“Kita ketepikan perbedaan atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera di Sabah Sarawak, kita bercantum atas kekuatan untuk membina negara yang baru,” katanya.

Turut berucap dalam perhimpunan itu adalah Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dipecat dari Kabinet.

Beliau mendakwa menteri tersebut mencetuskan kegusaran orang Melayu Islam kerana mencadangkan untuk meratifikasi konvensyen ICERD.

Pada 26 Oktober lalu, Waytha Moorthy dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam perjanjian hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.

Sementara itu Abdul Hadi dalam sidang media selepas perhimpunan itu semalam berkata gabungan Umno-PAS itu hanyalah untuk isu ICERD dan bukannya politik.

“Kita bergabung dalam isu menentang Icerd, kita bersama dalam isu ini. Tidak timbul bergabung dari segi politik. Belum masa untuk kita tubuh kerajaan, pilihan raya lambat lagi,” katanya.

PAS memutuskan untuk menyokong dan menyertai perkhimpunan 8 Disember dalam satu mesyuara kerta PAS Pusat semalam.

Hadi juga berkata Himpunan Bantah ICERD akan digerakkan di peringkat negeri-negeri sebelum perhimpunan besar diadakan di Kuala Lumpur. – 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen