Tukang mahir terakhir Kuala Terengganu


Noor Azam Shairi

Projek pembangunan ketika pentadbiran kerajaan BN membunuh bukan saja kemahiran penduduknya dalam seni batik dan tembaga, tetapi seni itu sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Disember, 2018.

PADA dinding di suatu sudut lobi Primula Beach Hotel di Kuala Terengganu, terpampang papan promosi produk tembaga sebagai hasil kraftangan kebanggaan negeri di pantai timur ini, sempena tahun melawat Terengganu 2017 anjuran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kalah pilihan raya umum lalu.

Tetapi enam tahun lalu, kerajaan BN di bawah bekas menteri besar Ahmad Said menggusur sebuah kampung tradisional Melayu dekat hotel itu bagi tujuan pembangunan lot komersial. Kampung itu mempunyai 19 tukang tembaga, yang kebanyakannya hari ini sudah tidak lagi mengusahakan seni kraf warisan itu.

Hari ini, di antara dua blok bangunan kedai berwarna kuning yang tegak atas nama pembangunan, ada sebuah kedai kayu usang gigih bertahan menjual tembaga, dan batik. Kedai itu nampak tidak duduk di tempatnya, menunggu masa juga untuk akhirnya dirobohkan selepas dihimpit pembangunan.

“Ya, inilah the last man standing (yang terakhir),” kata pemilik kedai kayu lusuh itu, Wan Yusoff Wan Ismail, sambil ketawa kecil kepada The Malaysian Insight.

Kedai batik dan tembaga itu tetap tegak di tempatnya kerana Wan Yusoff dan adiknya menentang pengambilalihan tanah warisan keluarga. Ketika ditemui di kedainya, lebih kurang 100 meter dari hotel yang mengadap Laut China Selatan itu, Wan Yusoff hanya duduk menunggu pelanggan.

Di antara dua blok bangunan kedai berwarna kuning yang tegak atas nama pembangunan, Wanisma Craft & Trading  gigih bertahan menjual tembaga, dan batik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Disember, 2018.

Wan Yusoff, 53, berkata perusahaan tembaga Wanisma Craft & Trading itu adalah satu-satunya yang terakhir di Kuala Terengganu – sekarang.

Perusahaan tembaga itu warisan keluarga turun temurun sejak enam atau tujuh generasi lalu, katanya.

Sebelum kerajaan BN mengambil alih tanah Kampung Ladang untuk “pembangunan” pada 2012, ada tidak sampai 20 tukang tembaga di kawasan sekitarnya. Jumlah itupun pada masa itu sudah merosot teruk, dibandingkan dengan 70 hingga 100 tukang yang ada pada dekad 1980-an.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pernah menyifatkan tindakan kerajaan BN itu sebagai penghapusan budaya atau cultural genocide, yang membunuh bukan saja kemahiran penduduknya dalam seni kraf warisan Melayu tetapi seni itu sendiri.

“Bangsa Melayu Terengganu sendiri meranapkan warisan nenek moyang kita demi mengejar “pembangunan moden” yang tidak membawa erti atau nilai serta roh Melayu tempatan kita,” kata Raja Kamarul Bahrain dalam satu kenyataan media tiga bulan sebelum PRU14.

Wan Yusoff mengeluh beliau tidak faham kenapa sampai macam itu sekali sikap penguasa negeri kepada industri tembaga, yang di Malaysia ini hanya ada di Terengganu, khususnya di Kampung Ladang.

Wan Yusoff Wan Yusoff Wan Ismail yang mengusahakan Wanisma Craft & Trading, warisan keluarga turun temurun sejak enam atau tujuh generasi lalu, tidak faham kenapa sampai macam itu sekali sikap penguasa negeri kepada industri tembaga di Terengganu. Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Disember.

“Ini produk pelancongan negeri dia. Kalau dia (kerajaan negeri) tak jaga, siapa?” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kenapa sebelum diusir dulu, dia tak buat tempat baru dan pindahkan tukang-tukang yang ada?” tambahnya.

Ironinya juga, ketika projek pembangunan tanah bersepakat Kampung Ladang Tok Pelam diketahui umum pada September 2008, sudah ada cadangan, gesaan dan peringatan kepada kerajaan BN supaya mewujudkan perkampungan tembaga di sekitar Kampung Ladang.

“Saya tak harap apa-apa lagi. Kalau kerajaan negeri sebut pasal tembaga Terengganu, buat promosi pun sudah memadai. Yang lain-lain biar saya buat sendiri,” kata Wan Yusoff.

“Selagi boleh bertahan, kita bertahanlah,” tambahnya.

Pok Ya Bunga

Sikap terus bertahan walau apa pun halangan juga jadi pegangan Zakaria Ismail, 62, satu-satunya pandai batik dari Kampung Ladang yang masih terus mengukir kemahirannya sampai sekarang.

“Yang lain habis tak ada dah, (sama ada berhenti) sebab faktor usia, mata dah tak berapa nampak atau sebab dah tak ada tempat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas rumahnya digusur oleh kerajaan negeri, Zakaria atau Pok Ya Bunga – gelar yang diberi kerana kepandaiannya membuat sarang batik cap – tidak lagi memiliki bengkel yang membolehkannya bertukang dengan selesa.

Beliau sekarang masih membuat sarang batik cap di ruang tamu rumah pangsanya yang kecil berukuran tidak lebih 800 kaki persegi. 

“Umur saya ini patutnya berehat dah tapi sebab minat… macam inilah,” katanya, sambil mata tekun memasang keping-keping alumunium untuk dibuat sarang cap batik.

Tetapi tidak semua kerja itu boleh dibuat di situ. Untuk menyiapkan tangkai pemegang sarang cap itu, beliau akan turun dari rumahnya di tingkat tujuh untuk bertukang di kedai kopi berdekatan.

Zakaria Ismail, 62, satu-satunya pandai batik dari Kampung Ladang yang masih terus mengukir kemahirannya sampai sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Disember, 2018.

Menurut Zakaria, pernah ada orang datang mahu belajar kemahiran itu tetapi tidak semua ada ciri-ciri yang diperlukan untuk jadi tukang batik.

“Ini bukan kerja seni semata-mata. Ini kerja yang menguji keperibadian… kena sabar,” katanya.

“Kalau ada 50 peratus keperibadian pada anak murid itu pun, okay dah.”

Setelah lima dekad jadi tukang batik, termasuk berguru sampai ke beberapa daerah di Indonesia, Zakaria hari ini kesal tiada pelapis mahu mewarisi kemahiran membuat sarang cap batik.

“Kerajaan tahu, bukan tak tahu. Kraftangan pun tahu. Tapi semua tak ambil kisah,” katanya.

Kaji semula

Sementara itu, exco kerajaan negeri Terengganu Ariffin Deraman berkata pihaknya akan meneliti semula kesan keputusan yang dibuat oleh pentadbiran BN sebelum ini.

“Isu penempatan mereka (karyawan seni kraftangan) akan dilihat semula. Kerajaan (PAS) sekarang akan cuba tengok balik isu yang berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita akan pastikan industri tembaga keris dan kraftangan yang ada tidak akan mati,” kata exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat itu.

Beliau yang juga Adun Alor Limbat berkat setakat ini pihak kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Kraftangan Malaysia dan pihak muzium untuk mengembangkan seni kraf warisan negeri.

“Walaupun pasaran tembaga misalnya tidak ada sekarang tetapi kita akan perkasakan balik.

Sudah ada beberapa perbincangan. Kita akan lebih serius bincang selepas ini,” kata Ariffin. – 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen