Jabatan Negara AS tiada kesimpulan mengenai pembunuhan Khashoggi


Laporan terkini mengatakan kerajaan AS sudah mencapai kesimpulan adalah tidak tepat, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert dalam satu kenyataan. – Gambar fail AFP, 18 November, 2018.

KERAJAAN Amerika syarikat (AS) masih belum mendapat kesimpulan mengenai kejadian pembunuhan Jamal Khashoggi, kata Jabatan Negara pada Sabtu, susulan laporan mengatakan Putera Mahkota Saudi bertanggungjawab atas kematian wartawan itu.

“Laporan terkini mengatakan kerajaan AS sudah mencapai kesimpulan adalah tidak tepat,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

“Ada banyak persoalan mengenai kematian Khashoggi. Jabatan Negara akan terus mencari fakta yang relevan,” katanya.

“Sementara itu, kami akan terus berunding dengan Kongres dan bekerjasama dengan negara lain supaya mereka yang terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi dipertanggungjawabkan.”

Washington katanya telah mengambil langkah tegas terhadap beberapa individu termasuk mengenakan sekatan visa.

“Kami akan terus mengambil langkah tambahan supaya mereka yang bertanggungjawab merancang, mengetuai dan mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu dikenakan tindakan. Dalam pada itu, hubungan strategik penting antara AS dan Arab Saudi akan dikekalkan.”

Kenyataa tersebut dikeluarkan untuk menyanggah laporan bahawa CIA memutuskan Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengarahkan pembunuhan Khashoggi.

Washington Post melaporkan CIA mendapati 15 ejen Arab Saudi menaiki pesawat kerajaan ke Istanbul dan membunuh Khashoggi di konsulat Arab Saudi.

Khashoggi, seorang kolumnis di Washington Post ke sana bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk berkahwin dengan tunangnya, seorang rakyat Turki. 

Arab Saudi yang menyangkal penemuan CIA itu berulangkali mengubah versi kenyataan rasmi mengenai pembunuhan pada 2 Oktober itu. Mulanya menafikan tahu di mana Khashoggi berada dan kemudian berkata lelaki itu terbunuh dalam pergaduhan.

Dalam versi terkini pada Khamis, sekumpulan 15 ejen ditubuhkan untuk membawa pulang Khashoggi dari Istanbul - tetapi berakhir dengan pembunuhan wartawan itu dengan cara yang kejam. – AFP, 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen