Tunjuk perasaan di Prague tuntut PM Czech letak jawatan 


Perdana Menteri Andrej Babis dituntut supaya meletak jawatan ketika negara itu menyambut ulang tahun ke-29 Revolusi Velvet yang menggulingkan rejim komunis. – Gambar EPA, 18 November, 2018.

BERPULUH ribu rakyat Czech mengadakan tunjuk perasaan di Prague pada Sabtu, menuntut Perdana Menteri Andrej Babis meletak jawatan ketika negara itu menyambut ulang tahun ke-29 Revolusi Velvet yang menggulingkan rejim komunis.

Mereka berkumpul di beberapa bahagian ibu kota itu untuk meningkatkan lagi tekanan ke atas Barbis, jutawan yang berdepan pertuduhan jenayah berhubung penipuan subsidi Kesatuan Eropah (EU) sedekad lalu.

Dia disyaki menyalahguna dana EU untuk membina ladang mewah Stork Nest dekat Prague pada 2007 hingga 2008.

Pada Isnin, media Czech memetik anak Babis sebagai berkata dia terpaksa ke Crimeria untuk menghalang siasatan penipuan ke atas urusan perniagaan ayahnya pada masa itu.

Beberapa penunjuk perasaan turut menuduh Babis bekerjasama dengan polis rahsia StB sebelum kerajaan digulingkan pada 1989.

“Sukar untuk menerima orang yang kini disiasat dan bekerjasama dengan StB itu ialah perdana menteri,” kata seorang ketua penunjuk perasaan.

Perdana menteri Czech itu menerima undi tidak percaya  pada 23 November lalu, tetapi Presiden Milos Zeman berkata akan menamakan semula Babis bagi jawatan itu walaupun gagal mendapat persetujuan dari ahli-ahli parlimen.

Sementara itu, wartawan dari laman web berita Seznam Zpravy merakam temubual bersama Andrej Babis Jr., 35, di Switzerland yang berkata dia telah diculik untuk menghalangnya daripada memberi keterangan terhadap bapanya.

Ia disangkal oleh Babis dengan berkata anaknya itu menghidap penyakit schizophrenia.

Sebelum berlepas ke Switzerland untuk bertemu anaknya pada Jumaat, Babis bersumpah tidak akan meletak jawatan. – AFP, 18 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen