DUA parti terbesar Melayu Islam PAS dan Umno akan berhimpun bulan depan bagi membantah ratifikasiKonvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada bulan depan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakariai itu mengesahkan bahawa parti itu akan bergabung dalam perhimpunan di Kuala Lumpur pada 8 Disember.
Razman dalam ucapan Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak malam ini menyebut, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat kerja PAS Pusat hari ini.
Dalam ucapan selepas itu, Zahid turut menyatakan sokongan terhadap keputusan PAS itu.
“Saya ingin mengesahkan Umno akan mendukung perhimpunan ini di Kuala Lumpur.
“Kita ketepikan perbedaan pegangan politik. Ini bukan perhimpunan Umno dan PAS tetapi perhimpunan ummah dan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Himpunan Bantah ICERD akan digerakkan di peringkat negeri-negeri sebelum kemuncaknya di Kuala Lumpur.
“Kita akan beritahu butiran lanjut himpunan bantah Icerd kemudian. Pertama kita akan buat diperingkat negeri dahulu dan kedua kita tunggu respon daripada kerajaan pusat,” katanya.
Dalam perhimpunan malam ini, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman turut diumumkan sebagai individu yang diamanahkan untuk menggerakkan perhimpunan tersebut di seluruh negeri.
Rancangan Putrajaya untuk meratifikasi ICERD itu menerima kritikan PAS dan Umno yang mendakwa ia menggugat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Susulan kritikan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan mendengar pandangan semua pihak berhubung ICERD sebelum meratifikasi konvensyen itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy berkata kerajaan akan mengadakan proses rundingan bagi mendapatkan persetujuan berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ia diratifikasikan.
Menurutnya, proses rundingan itu diperlukan namun ia tidak mempunyai had masa.
“Kerajaan akan mengambil langkah proaktif bagi suku pertama 2019 untuk mengadakan rundingan dalam mendapatkan pandangan perundangan sama ada dari dalam atau luar negara, serta pandangan intelektual dengan masyarakat umum,” katanya. – 17 November, 2018.
Komen