43 maut dalam serangan udara tentera pakatan AS di Syria


SEKURANG-kurangnya 43 orang maut kebanyakkan orang awam, dalam serangan udara tentera pakatan Amerika Syarikat di kubu kuat militan Daesh di timur Syria hari ini.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata antara yang maut termasuk 17 kanak-kanak selain 36 anggota militan Daesh dalam serangan udara di kampung Abu Husn, wilayah Deir Ezzor dekat sempadan Iraq.

Kata kumpulan itu, identiti tujuh lagi mangsa masih belum dapat disahkan sama ada orang awam atau militan Daesh.

Pakatan tentera AS membantu gabungan tentera Arab-Kurdish, Tentera Demokratik Syria (SF) untuk mengusir militan tersebut dari Abu Husn.

“Ia merupakan kematian paling ramai dalam serangan udara tentara pakatan sejak SDF melancarkan serangan ke kubu kuat Daesh pada September,” kata pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman.

Bagaimanapun tentera pakatan berkata pihaknya sedaya upaya mengelakkan kematian orang awam.

“Kita memberi keutamaan untuk mengelakkan kematian orang awam apabila melancarkan serangan udara ke atas kubu musuh,” kata jurucakap tentera pakatan Sean Ryan pada awal minggu ini.

Militan Daesh menguasai sebahagian besar kawasan di Syria dan Iraq pada 2014 dengan mengisytiharkan pemeritahan kalifah di kawasan yang ditawan.

Namun Daesh kehilangan banyak kawasan yang ditawan ekoran serangan balas tentera kedua-dua negara.

Sejak 2014, tentera pakatan bertanggungjawab atas kematian lebih 1,100 orang awam di Syria dan Iraq, tetapi kumpulan hak asasi berkata jumlah itu jauh lebih tinggi.

Peperangan di Syria menyaksikan lebih 360,000 orang terbunuh sejak 2011 ekoran pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang. – AFP, 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen