2 migran Algeria mati lemas, 8 hilang di perairan Sardinia


Kerajaan Itali merekodkan kehadiran 1,167 pendatang Algeria ke negara itu pada tahun ini. – Gambar fail AFP, 17 November, 2018.

DUA pendatang asing mati lemas dan lapan lagi masih hilang selepas bot yang mereka naiki terkanda di perairan kepulauan Sardinia di Itali.

Kesemua mangsa yang merupakan pendatang Algeria, cuba berenang ke daratan selepas bot yang dinaiki 13 orang itu kehilangan kuasa.

“Tiga migran yang terselamat berkata enjin bot itu gagal berfungsi kira-kira satu kilometer dari pulau Toro.

“10 orang mengambil keputusan untuk berenang ke kawasan darat, tetapi gagal,” kata pasukan pengawal pantai Itali dalam satu kenyataan.

Beberapa buah bot, pesawat dan helikopter dikerah untuk mencari mangsa yang hilang dan setakat ini hanya dua mayat ditemukan.

Kerajaan Itali merekodkan kehadiran 1,167 pendatang Algeria ke negara itu pada tahun ini. – AFP, 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen