SEEKOR gajah Sumatera ditemukan mati dengan kesan gadingnya dipotong, dipercayai angkara perbuatan pemburu haram, kata pegawai pemuliharaan Indonesia semalam.
Bangkai gajah jantan berusia 10 tahun itu ditemukan di kampung Blang Awe di wilayah Aceh pada awal minggu ini.
“Gadingnya dipotong dan diambil selain terdapat kesan darah di lokasi haiwan itu ditemukan,” kata ketua pusat pemuliharaan Aceh Sapto Aji Prabowo.
Siasatan lanjut mendapati haiwan itu telah mati sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.
Punca kematian masih belum jelas dan sampel tisu haiwan itu kini dianalisis untuk memastikan sama ada ia mati diracun.
Aktiviti pembalakan menyebabkan kawasan habitat haiwan yang semakin pupus itu berkurangan dan mencetuskan konflik dengan manusia.
Gading haiwan itu amat bernilai dalam perdagangan haram hidupan liar.
Sekurang-kurangnya 11 gajah liar dilaporkan mati di Aceh tahun lalu, kebanyakkannya akibat dibunuh oleh manusia.
Pada Julai, seekor gajah Sumatera ditemukan mati akibat diracun di kawasan perladangan kelapa sawit.
Kementerian alam sekitar menganggarkan hanya tinggal 500 ekor gajah Sumatera di Aceh. – AFP, 17 November, 2018.
Komen