DEWAN Kongres PKR petang ini gamat apabila seorang perwakilan merayu agar Rafizi Ramli dan Azmin Ali menamatkan sengketa dan permusuhan ademi meneruskan agenda reformasi parti
Wakil Perlis Tengku Nazeri Tengku Aldin berkata ia perlu ditamatkan kerana perjuangan utama PKR kini adalah mengisi kemenangan yang dikecapi pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Malah, parti sudah berjaya menguasai Putrajaya dan mereka berjaya membebaskan Anwar Ibrahim dari tahanan penjara, katanya.
“Saya minta kita semua, saya merayu, menang kita dah menang dah, Putrajaya kita sampai dah, Anwar dah bawa keluar dah.
“Sekarang masa kita mengisi kemenangan ini, saya minta team Rafizi, team Azmin Ali, hentikanlah…masa pemilihan dah habis,” katanya.
Seruannya itu disambut sorakan perwakilan di dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, yang bersetuju dengan kenyataannya.
Tambah Tengku Nazeri, PKR kini perlu diterajui oleh seorang pemimpin sahaja tanpa perlu melibatkan pertelagahan mana-mana pemimpin.
“Dalam parti kita tidak perlu ada dua pahlawan, cukup Anwar Ibrahim sebagai pemimpin kita, saya hendak dalam bukit kita ada ini perlu ada satu singa sahaja,” katanya.

Beliau turut menggesa Anwar, yang juga bakal presiden PKR, meneliti semula proses pemilihan parti itu yang berlarutan sehingga sembilan minggu dan menimbulkan pelbagai aduan.
“Kita minta bapak presiden tengok untuk akan datang punya pemilihan, kita tak mahu pemilihan macam ini
“Buatlah pembaharuan, yang keluar mengundi tak sampai 200,000 ahli, berapa hari kita kira tak habis lagi,” katanya.
Beliau menerima sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan sekali lagi apabila meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengkaji kaedah pemilihan di negara seperti India.
“India ada berpuluh juta pengundi, tidaklah susah sampai macam ini. Tolong angkat JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) ke India, tengok macam mana mereka urus pemilihan,” kata Tengku Nazri.

Sejurus sebelum Tengku Nazri tamat berbahas, Azmin dan Rafizi bangun dan mengangkat tangan bergandingan sebagai tanda sokongan.
Kepimpinan tertinggi PKR seperti Dr Wan Azizah dan Anwar turut dilihat berdiri memberi penghormatan kepada Tengku Nazri dengan diiringi laungan Reformasi daripada perwakilan.
“Ini bukti betapa sayang dan cintanya kita kepada parti,” kata Tengku Nazri, sebelum meninggalkan pentas. – 17 November, 2018.
Komen