Wan Azizah galas tugas sebagai pengerusi majlis penasihat PKR


Chan Kok Leong

Dr Wan Azizah akan menyerahkan tugas Presiden PKR kepada suaminya, Anwar Ibrahim esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 November, 2018.

DR Wan Azizah Wan Ismail akan menjalankan tugas sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR apabila beliau melepaskan jawatan presiden parti itu.

Resolusi itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang perbahasan pada Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam hari ini.

Resolusi itu diusulkan oleh Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sesi penggulungan debat delegasi terhadap ucapan presiden.

Dr Wan Azizah yang mengetuai parti itu selama 20 tahun, akan memberi kekosongan kerusi presiden kepada suaminya, Anwar Ibrahim esok.

Sehingga hari ini, PKR tidak mempunyai jawatan untuk pengerusi.

“Dengan kata sepakat,  jawatankuasa kepimpinan pusat akan melantik Dr Wan Azizah sebagai pengerusi Majlis Penasihat PKR sebagai tanda terima kasih atas khidmatnya dan terus mendapat manfaat daripada kepimpinannya,” kata Fahmi.

Resolusi itu juga merakamkan penghargaan kepada Dr Wan Azizah atas pengorbanan, pimpinan dan tunjuk beliau.

Selain itu, resolusi itu juga meminta timbalan perdana menteri tersebut untuk terus memainkan peranan dalam parti dan kepimpinan parti disaran mengikut teladan yang ditunjukkan beliau.

Fahmi berkata, Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat adalah satu badan baharu, yang diwujudkan hari ini setelah usul diterima sebulat suara oleh perwakilan Kongres Nasional.

Katanya, memandangkan Kongres Nasional adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti, maka Majlis Penasihat PKR diluluskan.

“Maklumat lanjut berkenaan fungsi, tanggungjawab dan komposisi majlis akan diumumkan kelak,” katanya. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen