SERAMAI 12 ahli Parlimen Umno tidak diterima menyertai Bersatu dan bukan hanya empat orang, dakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mendakwa, Umno mengetahui perkara itu selepas membuat semakan susulan kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir bahawa empat orang wakil rakyat Umno tidak diterima menyertai parti itu.
“Bila kita semak rupanya ada 12 orang, lapan orang lagi Mukhriz tidak sebut,” kata Zahid tanpa menamakan individu berkenaan.
Zahid mengulas kenyataan Mukhriz pada hujung bulan lalu yang menyenaraikan namanya sebagai antara empat ahli Parlimen yang ditolak menyertai Bersatu.
Tiga lagi adalah bekas perdana menteri Najib Razak yang juga ahli Parlimen Pekan, Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Abdul Azeez Rahim (Baling).
Mukhriz pada 30 Oktober lalu turut memaklumkan bahawa individu yang mahu menyertai Bersatu perlu memenuhi beberapa syarat tertentu antaranya meninggalkan amalan tidak baik dalam Umno.
Jelas Zahid tapisan untuk menyertai Bersatu juga disebut oleh Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan dengan perdana menteri tersebut pada Jun lalu.
Dakwanya, Dr Mahathir mahu beliau membubarkan Umno dan supaya ahlinya menyertai Bersatu kerana Umno tidak lagi diterima rakyat.
Beliau juga mendakwa Dr Mahathir menggesa beliau lompat parti tetapi pada masa yang sama pengerusi Bersatu itu menegaskan parti itu tidak akan menerima keseluruhan ahli parlimen Umno
“Dia kata ahli-ahli Parlimen boleh lompat parti tetapi kita tidak boleh terima semua. Itu yang Mukhriz kata empat itu yang tidak boleh terima.
“Atok minta saya lompat, bubar Umno tetapi saya tidak mahu buat,” katanya merujuk kepada Dr. Mahathir.
“Saya tidak mahu lompat dan bubar Umno sebab parti ini kononnya orang jijik, Umno perompak Umno penyamun,” kata Zahid dalam pertemuan bersama pemimpin akar umbi Umno di Pahang hari ini.
Zahid secara sinis juga berkata tindakan Dr Mahathir sebelum ini juga menyebabkan Umno berpecah-belah.
“Atok kata masa dia jadi perdana menteri dulu semua orang sayang kepada Umno sebab itu sampai Umno terbelah dua,” kata Zahid lagi. – 17 November, 2018.
Komen