Ahli Parlimen Kepong lapor Ku Nan kepada SPRM


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menunjukkan dokumen mengenai pembatalan pendengaran awam bagi 23 projek pembangunan pada 2017 oleh Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang akhbar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 November, 2018.

AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kerana didakwa membatalkan 23 projek pembangunan pada 2017 daripada menjalani pendengaran awam sebelum kelulusan mereka.

Lim mendakwa Tengku Adnan menggunakan kuasa beliau sebagai menteri untuk mengabaikan pendengaran yang ditetapkan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

“Tengku Adnan pada 2017 sahaja telah membantah 23 pendengaran awam dengan menggunakan kuasanya sebagai menteri Wilayah Persekutuan bagi 23 projek pembangunan,” kata Lim dalam sidang akhbar hari ini.

“Beliau perlu menjawab. Saya akan memfailkan laporan baharu kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan ini,” katanya.

Di bawah Akta ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur dikehendaki menghubungi pemilik berdaftar tanah bersebelahan projek yang dicadangkan melalui iklan untuk jemputan bantahan terhadap permohonan pembangunan yang melibatkan penukaran penggunaan tanah, zon atau meningkatkan kepadatan kediaman.

Lim berkata semua 23 projek melibatkan penukaran tanah, zon dan peningkatan kepadatan kediaman, tidak melalui pendengaran awam.

“Di bawah akta itu, pendengaran awam perlu dijalankan kerana ia melibatkan pengezonan dan peningkatan kepadatan, tetapi bekas menteri itu membantahnya,” kata Lim.

“Beliau menggunakan kuasanya di bawah Kaedah 14, Kaedah Rancangan Pembangunan 1970. Walaupun saya menyedari kuasa beliau, bagaimana anda boleh menentang semua 23 projek pada 2017? Kesemua 23 kes ditolak tanpa bantahan.”

Kesemua projek itu, menurut Lim diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, selain Tengku Adnan, DBKL bersama-sama dengan pemaju projek perlu dipertanggungjawabkan.

Lim menambah semua maklumat rahsia yang diterima datang daripada seorang pegawai di dalam DBKL, sambil menambah beliau akan ke SPRM untuk membuat laporan pada Isnin.

The Malaysian Insight difahamkan pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya pada 2017 yang meluluskan surat tersebut ialah Sulaiman Mohamed.

23 projek yang diketepikan daripada pendengaran awam adalah di Bandar Tun Razak, Kepong, Bukit Bintang, Batu, Segambut, Lembah Pantai, Seputeh, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Titiwangsa. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen