Jumlah hilang dalam kebakaran California naik lebih 1,000 orang


Jumlah mereka yang hilang meningkat daripada 631 pada Khamis kepada 1,011 semalam selepas lebih banyak laporan orang hilang dihantar dan panggilan kecemasan yang dibuat pada 8 November disemak semula. – Gambar EPA, 17 November, 2018.

JUMLAH orang yang dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan dahsyat di utara California kini meningkat lebih 1,000 orang semalam, kata pihak berkuasa, selepas lapan lagi mayat ditemui.

Sherif Butte county Kory Honea berkata jumlah mereka yang hilang meningkat daripada 631 pada Khamis kepada 1,011 semalam selepas lebih banyak laporan orang hilang dihantar dan panggilan kecemasan yang dibuat pada 8 November disemak semula.

Lapan orang mangsa menjadikan jumlah kematian rasmi naik kepada 71 orang dalam “Camp Fire”.

Tiga orang lagi terbunuh di selatan California dalam kebakaran yang digelar “kebakaran Woolsey”.

Honea menegaskan yang jumlah mereka yang hilang sentiasa berubah dan ini tidak bermakna mereka sudah dianggap terbunuh.

“Saya mahu anda faham yang ini adalah senarai yang dinamik,” katanya.

“Maklumat yang saya berikan adalah data kasar dan kami mendapati wujud kemungkinan senarai ini mengandungi nama berulang,” tambahnya. – AFP, 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen