TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hassan ketika menang jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan akhir Jun lalu, dianggap tokoh pembaharuan dalam Umno. Selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Umno sangat tenat. Parti itu hilang kuasa dan ditolak rakyat kerana isu kleptokrasi.
Apalagi, Mohamad ketika berkempen dalam pemilihan parti, sangat bersemangat bercakap mengenai perlunya Umno berubah dan menerima hakikat parti itu ditolak rakyat. Mohamad juga mahu Umno sedar, parti itu berdepan realiti terburuk dalam sejarah penubuhannya sejak Mei 1946.
Mohamad ketika berkempen juga dilihat antara tokoh paling bersih yang bertanding di peringkat kepimpinan tertinggi. Walaupun bukan dalam kalangan penyandang naib presiden dan bukan juga nama besar untuk kerusi nombor dua Umno – selepas PRU14, namanya tiba-tiba jadi relevan.
Apabila dipilih perwakilan, kemenangannya sangat diraikan. Ia penting sebagai simbol wujudnya tokoh yang “bersih” ketika Umno dilihat penuh dengan kekotoran. Umno dicemari pelbagai kes salah guna kuasa dan persepsi rasuah.
Masalahnya sekarang, selepas jadi Timbalan Presiden, Mohamad gagal berperanan sewajarnya. Imej tokoh pengimbang yang kononnya akan membersihkan Umno, kini sudah jadi sebaliknya. Mohamad tiba-tiba menyertai budaya lapuk Umno sebagai pembodek presiden.
Mohamad mengulangi budaya haprak Umno dengan kembali ke takuk lama. Mohamad mengulangi kitaran sengal Umno – bahawa, semua pemimpin hanya khadam presiden.
Mohamad kini meletakkan dirinya dalam lingkaran sejarah buruk Umno. Mohamad tidak berbuat apa-apa, ketika parti berdepan beban menanggung isu skandal peribadi presiden parti.
Selain taat kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dibelenggu 45 pertuduhan jenayah, Mohamad langsung tidak nampak berperanan sebagai tokoh pembersihan Umno. Parti keramat Melayu yang kalah teruk kerana kemelut 1MDB itu, kini bertarung dalam kemusnahan pusingan baharu.
Umno berperang sekali lagi demi melindungi presiden yang terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa.
Mohamad menjadikan dirinya berada dalam liga setaraf Lokman Noor Adam, ahli Majlis Tertinggi yang mengetuai “kelab penyokong” Najib yang tega dan tegar berhimpun di mahkamah dan bangunan SPRM semata-mata bersolidariti dengan bekas presiden itu.
Begitulah rendahnya nilai Mohamad sekarang. Seorang yang sebelum dipilih menjadi timbalan presiden, dilihat sebagai simbol merakyat, kini tidak lebih hanya satu lagi kakasan penting buat presiden.
Apabila Mohamad menghina ahli Umno yang meninggalkan parti itu sebagai “langau”, ia meletakkan imejnya dalam liga lebih teruk berbanding IQ lobak merah Lokman.
Mohamad yang disegani kerana hemahnya, kini menjadi ketua khadam presiden parti. Mohamad dilihat sanggup berbuat dan bercakap apa saja membela bosnya. Sekali pun tanpa menggunakan akal dan fakta.
“Langau-langau dah terbang dah. Tidak ada benda yang nak dihisap lagi, mereka pun terbang.
“Biarlah langau ini terbang dan biarlah kita di sini menjadi garam,” kata Mohamad.
Mohamad berucap dengan nada mencela dan menghina. Mencetuskan watak pembodek cap ayam ketika berucap pada majlis di Melaka. Lebih memalukan, bodekan itu dilafazkan di depan Zahid.
Mohamad macam lupa – enam ahli Parlimen yang lebih awal meninggalkan Umno adalah gambaran ada sesuatu yang tidak betul dalam parti itu. Malah, tindakan terkini Adun Guar Cempedak Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail juga satu realiti, migrasi wakil rakyat parti itu akan berterusan.
Pemimpin parti tidak pergi dengan semudah itu. Mereka pergi kerana melihat Umno sudah menjadi parti yang taksub melindungi bangkai gajah.
Orang marah sebab selepas kalah PRU 14, Umno masih kekal menjadi parti yang melindungi masalah peribadi pemimpin. Umno kekal sebagai parti lalat yang menghurung bangkai demi melindungi bau busuknya.
Apakah langau akan ada tempat ketika lalat berkerumun menghurung bangkai?
Dari pemimpin yang bercitra pembaharuan, kini Mohamad tenggelam sebagai pemabuk retorik melalui kata-katanya sendiri.
“Kita ubatkan dan rawatkan penyakit kita, luka kita… kita rawat kerana yang penting tidak lama lagi pilihan raya.”
Mohamad lupa, dengan pelbagai pertuduhan jenayah serta pembongkaran 1MDB, Umno tidak bersedia untuk PRU15. Selagi parti itu gagal membersihkan imej kepimpinannya, nasib Umno akan terpukul mati dalam PRU15 nanti.
Mana mungkin rakyat kembali kepada parti yang perangainya sama dua kali lima macam sebelum PRU14. Pengundi kita bukanlah bodoh dan buta!
Tanpa senarai pemimpin yang bersih imejnya, Umno akan menjadi parti penjenayah rasuah sekiranya terus bertanding PRU 15. Rakyat akan muak dengan imej parti yang menjadi sarang pemimpin yang diburu undang-undang.
Kini, Mohammad bakal menghadapi PRK di DUN Rantau setelah keputusan kemenangan tanpa bertanding 9 Mei lalu dibatalkan mahkamah. Kalau Mohammad dipilih sekali jadi calon Umno, dia akan kekal sebagai calon yang bersih.
Namun, imejnya kini dikotorkan oleh sikap peribadinya sendiri. Mohamad jadi kotor kerana memilih budaya macai presiden! – 17 November, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen