AGENSI Perisikan Pusat (CIA) menyimpulkan yang Putera Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed bin Salman adalah dalang pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, lapor akhbar Washington Post semalam yang memetik sumber dalaman siasatan.
Siasatan AS itu secara langsung bercanggah dengan kenyataan pendakwa raya Saudi sehari sebelum itu yang tidak menjumpai kaitan penglibatan putera itu dalam pembunuhan kejam tersebut.
Menurut siasatan CIA, 15 agen Saudi terbang menggunakan pesawat kerajaan ke Istanbul dan membunuh Khashoggi dalam Konsulat Saudi, lapor akhbar tersebut.
Khashoggi, seorang kolumnis di Washington Post memasuki konsulat untuk mendapatkan dokumen berkaitan untuk berkahwin dengan tunangnya, seorang warga Turki.
Arab Saudi berulang kali mengubah naratif rasminya mengenai pembunuhan 2 Oktober tersebut, pada mulanya menafikan mengetahui nasib Khashoggi dan kemudiannya berkata beliau terbunuh selepas terlibat dalam pergaduhan dalam konsulat.
Dalam cerita terbaru didedahkan oleh pendakwa raya Saudi pada Khamis, pasukan 15 anggota dibentuk untuk membawa Khashoggi balik dari Istanbul “dengan pujukan”- tetapi akhirnya membunuh wartawan dan melupuskan badannya dalam operasi gasar.
CIA yang mengutip beberapa sumber perisikan, kata Post, antaranya adalah panggilan telefon dengan abang putera tersebut- duta Saudi ke AS- dan Khashoggi.
Duta itu dilaporkan memberitahu wartawan itu yang beliau selamat pergi ke Konsulat Istanbul dan mendapatkan dokumen dihendaki.
Agensi perisikan AS itu juga memutuskan peranan putera mahkota itu yang dianggap sebagai “ketua umum” di Arab Saudi: “(Dengan) Kedudukan yang dimilikinya tidak mungkin beliau tidak mengetahui atau menyedari apa yang berlaku,” lapor Post memetik sumber sebagai berkata.
Pegawai menganggap Mohammed sebagai “teknokrat yang baik”- tetapi juga seseorang yang sukar dijangka yang “daripada sifar kepada 60, nampaknya tidak memahami ada perkara yang anda tidak boleh buat”.
Hasil siasatan CIA itu mengancam hubungan sedia tegang antara Washington dengan Riyadh yang merupakan sekutu utamanya dalam menamatkan isu pembunuhan Khashoggi. Riyadh juga menolak desakan antarabangsa untuk mengadakan siasatan bersama.
Khamis lalu, Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas 17 orang, termasuk pembantu rapat Mohammed, mencadangkan wujud usaha bersama antara Riyadh dan Washington dalam mengekang desakan tindakan lebih keras diambil ke atas Saudi oleh Kongres AS.
Presiden AS Donald Trump setakat ini tidak menyalahkan putera mahkota itu secara langsung, tetapi semalam bersetuju dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang “apa sahaja usaha melindungi kejadian tersebut tidak boleh dibenarkan”. – AFP, 17 November, 2018.
Komen