PKR harus membuktikan parti itu lebih baik berbanding parti pemerintah sebelum mereka, kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan perdana menteri itu berkata, malang sekali jika rakyat melihat tiada perubahan yang dilakukan PKR dan Pakatan Harapan (PH) selepas menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita pejuang reformasi harus berbeza daripada rejim yang kita tentang dulu. Pendekatan dan amalan harus ada kelainan dan dilihat lebih baik dari yang dulu.
“Jangan sampai rakyat menempelak ‘ah sama sahaja dengan yang dulu’, jika ini berlaku sungguh malang perjuangan dan pengorbanan kita selama ini,” kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR sempena Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PKR harus membuktikan rakyat membuat keputusan tepat apabila memilih mereka sebagai kerajaan.
“Buktikan kita lebih baik, buktikan keputusan rakyat menyokong kita adalah tepat, buktikan kita mampu melaksanakan amanah dengan berkesan dan rakyat merasai kehadiran setiap kita dalam masyarakat,” katanya di hadapan 965 orang perwakilan PKR.
Wan Azizah berkata ahli parti perlu mengisi kemenangan PKR melalui khidmat kepada rakyat.
“Parti kita tidak cukup sekadar dihadirkan di tengah-tengah rakyat melalui lambang atau bendera atau gambar-gambar seperti dalam kempen parti sebelum ini.
“Selepas kemenangan kita harus menghadirkan isinya, parti kita adalah parti yang harus hadir di tengah-tengah masyarakat dan terpahat di dalam jiwa dan sanubari rakyat.
“Hadir dan merasai denyut nadi rakyat,” kata Wan Azizah lagi yang menyeru saf kepimpinan baru sesi 2018 hingga 2021 menekankan tarbiyah, disiplin, dan pendidikan politik kepada ahli PKR.
Kongres kali ini adalah kali terakhir Wan Azizah berucap sebagai presiden dan akan digantikan oleh Anwar Ibrahim menang jawatan itu tanpa bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.
Keputusan rasmi pemilihan dijangka diumumkan Ahad, hari terakhir persidangan kongres. – 17 November, 2018.
Komen